"Aduh, malunya nak bawak anak aku ke majlis makan-makan rumah jiran. Nanti habis bersepah makanan kat lantai rumah orang. Macam mana ya nak ajar anak makan tak berterabur?"
Mungkin ramai ibu bapa yang mengeluh bila berhadapan dengan perangai si kecil yang tidak berdisiplin waktu makan. Akibatnya ramai yang malas keluar makan di restoran kerana bimbang anak akan buat perangai di luar jangkaan.
Tetapi masih ramai lagi yang mampu mengajar anak-anak kecil mereka makan dengan sopan dan tidak berkecah. Sebenarnya penting untuk anda mendidik anak disiplin waktu makan. Ia sebahagian daripada adab sopan yang mesti dititik beratkan kepada anak-anak.
Menginjak ke usia dua tahun, anak anda telah bersedia untuk berpindah dari kerusi tingginya dan turut serta di meja makan keluarga. Ini antara sebab pentingnya mendisiplinkan anak waktu makan supaya mereka lebih beradab sopan di mana sahaja berada.
1. Masa bersama keluarga
Waktu makan merupakan masa sosial yang penting. Belajar mengambil bahagian sebagai ahli keluarga merupakan perkara yang penting dalam perkembangan sosial anak anda. Ketika di meja makan, anak belajar banyak perkara seperti adab ketika makan, persiapan sebelum makan iaitu perlu mencuci tangan, menyiapkan meja makan, membaca doa dan sebagainya.
2. Jenis makanan yang dimakan
Makanan yang dimakan juga adalah penting, tetapi selagi anda membekalkan anak dengan makanan yang baik secukupnya, anda boleh membiarkan dia membuat keputusan sama ada hendak memakan makanannya atau tidak.
3. Belajar tidak gelojoh semasa makan
Walaupun anak sedang lapar tetapi dia perlu dididik supaya tidak gelojoh semasa makan. Dia mesti tahu kuantiti makanan yang dia perlukan pada suatu masa dan jangan sekali-kali menjadi tamak. Ajar anak supaya makan dengan perlahan dan tak perlu kelam kabut hanya semata-mata kerana dia ingin mengejar rancangan kartun di televisyen.
4. Hormat waktu makan
Walaupun anak sedang leka bermain atau menonton televisyen, sentiasa memastikan dia akan sertai waktu makan bersama keluarga di meja makan. Oleh itu penting bagi anda untuk mendidik anak mengenai keutamaan menghormati waktu makan utama.Disiplin ini penting ditetapkan sejak anak kecil lagi. Papa dan mama juga mesti sama-sama ada di meja makan pada waktu makan.
5. Tidak cerewet makan
Kadang kala ada anak yang cerewet dan enggan makan apabila tiba waktu makan kerana tak suka dengan makanan yang dihidangkan. Bagaimana sepatutnya dilakukan bagi mengelakkan masalah waktu makan tetap berlaku?
Sebenarnya rahsia untuk mengelakkan masalah pada waktu makan iaitu anda sendiri yang perlu menetapkan peraturan. Sejak awal lagi papa dan mama perlu didik anak supaya tidak memilih makan. Sentiasa bersyukur dengan makanan hari itu kerana ia rezeki dari Allah SWT. Bila anak sentiasa diingatkan tentang konsep makanan itu rezeki dari Allah, maka lama-kelamaan mereka tidak akan menjadi anak yang cerewet makan.
Dari awal lagi didik si kecil merasakan masa makan sebagai cara seronok memuaskan rasa kelaparan yang dirasakan. Adalah suatu kesilapan sekiranya anda bertengkar dengannya disebabkan oleh makan. Akhirnya ia akan menyebabkan anak berasa benci dengan waktu makan. Jadikan masa makan sebagai waktu anda sekeluarga berkumpul dan wujudkan pengalaman menyeronokkan sehingga anak berasa tidak sabar untuk makan bersama sekeluarga.
Blogger Comment
Facebook Comment