Cara Mudah Bersihkan Dan Hilangkan Kotoran Degil Dari Bilik Mandi Dan Tandas. Membersihkan kotoran degil dari bilik mandi dan tandas boleh dilakukan dengan mudah jika kita tahu caranya. Sayang sekali ramai yang memandang remeh soal kebersihan bilik air di rumah kerana menganggapnya sebagai suatu perkara yang remeh atau tidak penting.
Namun bilik mandi dan tandas yang kotor pasti membuatkan kita tidak selesa menggunakannya. Apatah lagi jika ada tetamu yang berkunjung dan ingin menggunakan tandas atau bilik air di rumah kita, pasti kita berasa malu kerana tidak menitikberatkan soal kebersihan. Kemungkinan kita akan dilabel sebagai seorang yang pengotor.
Anda tentu tidak mahu perkara ini terjadi kan. Jadi jom kita belajar cara mudah untuk hilangkan kotoran degil dari bilik air dan tandas. Anda hanya perlu luangkan sedikit sahaja masa untuk memastikan bilik air dan tandas sentiasa bersih dan selesa.
Tips Mudah Bersihkan Bilik Mandi Dan Tandas
1) Luangkan kira-kira 5 minit setiap hari untuk mencuci bilik air dan tandas di rumah anda. Anda boleh melakukannya sebelum anda mandi. Apa yang perlu anda lakukan adalah letakkan sedikit cecair pencuci ke atas span dan gosok dinding, sinki dan lantai bilik mandi. Tuangkan sedikit pencuci ke dalam mangkuk tandas, gunakan berus untuk membersihkan.
2) Untuk membersihkan jubin tandas yang berlumut, anda hanya perlukan bahan peluntur. Tuang bahan peluntur yang telah dicampur dengan sedikit air ke atas lantai, berus dan biarkan selama sejam. Selepas itu bersihkan dengan air.
3) Luangkan masa seminggu sekali atau dua minggu sekali untuk menggosok segala kotoran dari sinki dan mangkuk tandas. Gosok juga dinding dan lantai tandas dan bilik air menggunakan berus.
4) Gantungkan pewangi yang sesuai dalam tandas untuk menyingkirkan bau yang kurang menyenangkan.
Panduan Menghias Bilik Mandi
1) Sediakan rak untuk meletakkan ubat gigi, berus gigi, syampu dan sabun.
2) Pasang cermin muka di dinding bilik air.
3) Sediakan penyangkut untuk menggantung tuala dan pakaian.
4) Hias dinding dengan bunga plastik atau daun hijau untuk menyerikan lagi ruang bilik air.
Petua Membersihkan Mangkuk Tandas Yang Kotor Dan Berkerak
1) Tuang cuka ke dalam mangkuk tandas dan biarkan untuk beberapa jam. Selepas itu gosok keseluruhan mangkuk tandas menggunakan berus. Selepas kesemua kotoran berjaya ditanggalkan, siram dengan air bersih.
2) Selain cuka, anda juga boleh menggunakan satu tin air coke. Caranya sama seperti menggunakan cuka. Tuang ke dalam mangkuk tandas, biarkan seketika. Kemudian gosok menggunakan berus sehingga bersih dan bilas dengan air.
Petua Bersihkan Kotoran Degil Pada Lantai
1) Ambil kapur sirih dan campurkan dengan air. Tuangkan campuran itu ke lantai dan biarkan untuk beberapa minit. Selepas itu cuci menggunakan pencuci lantai. Ulangi proses ini sehingga lantai bilik air benar-benar bersih.
Semoga Tips Mudah Bersihkan Bilik Mandi Dan Tandas ini dapat membantu anda mendapatkan bilik air yang bersih dan selesa untuk diguna. Selamat mencuba.
Sumber: notawanita.com
Blogger Comment
Facebook Comment