Dalam keadaan sarat mengandung enam bulan, seorang suri rumah dengan dua orang anak berusia 3 dan dua tahun hanya mampu menyerahkan nasibnya kepada takdir selepas suaminya meninggal dunia 17 Mac lalu selepas terjunam ke dalam longkang besar.
Kematian suami secara mengejut dan tiba-tiba ini membuatkan dia terpana kerana suaminya langsung tidak meninggalkan wang simpanan selain tiada PERKESO dan SOSCO kerana bekerja kontrak.
Bantulah ibu muda ini setakat yang anda mampu sementara dia boleh menyara dirinya selepas bersalin kelak! Salurkan ke Bank Simpanan Nasional 14154-41-00008501-4 atas nama Kamillya Saharzat.
Ikuti Kisah Kamillya
“Banyak yang suami janjikan. Dia janji nak bawa anak-anak pergi zoo. Dia janji nak scan baby kerana saya akan bersalin awal bulan Julai ini. Banyak sangat yang suami janjikan namun semuanya dibawa bersama impian yang tidak kesampaian,” luah Kamillya Saharzat.
Duduk mendepani ibu yang kandungannya mencapai usia 5 bulan ini, matanya sarat dengan kesedihan. Sedih yang tidak mungkin terluah dengan kata-kata dan ramai yang memahaminya.
Kehilangan suami, Mohamad Sharul Azrin Che Manan dalam satu kemalangan jalan raya, 16 Mac lalu bukan satu kehilangan biasa. Tetapi luar biasa kerana pada sang suamilah, dia menyandarkan segala harapan. Pada suami itu jugalah dia menadah tangan berdoa untuk terus menjaganya selama hayat mereka. Pada suamilah yang bekerja mencari rezeki, suaminyalah yang melakukan pelbagai pekerjaan bagi memenuhi impian dirinya dan anak-anak.
Paling sukar luput di ingatan dirinya, rumah mereka baru seminggu sahaja diduduki. Berpindahnya malam Jumaat, 9 Mac dan seminggu kemudian, 16 Mac, suaminya parah akibat kemalangan selepas terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang sebelum meninggal keesokan harinya.
Kongsi Kamillya lagi, apa yang membuatkan dia terkenang-kenang, suami memintanya jangan makan dahulu kerana mahu makan malam bersama-sama pada hari kejadian.
“Pagi itu, suami carikan kiub ayam di serata kedai untuk dibuat sup. Puas dicari setiap kedai kerana kebanyakan kedai masih tutup pada jam 7 pagi. Sebelum ini, anak demam sudah dua tiga hari, jadi ingat nak masakkan sup ayam buat pembuka selera. Rasa terhibur juga bila lihat anak makan banyak. Sebelum pergi kerja pagi itu, suami pesan, kita makan sama-sama nanti.
“Pada sebelah petang, bila tengok anak makan sup ayam dengan penuh selera, saya mula bermesej-mesej dengan suami. Gembira untuk kongsi momen yang anaknya makan dengan banyak kerana sebelum ini, anaknya demam dan tiada selera makan langsung.
“Petang itu, saya ada mesej dengan suami. Dia cakap tengah kerja dan saya ada minta dia hubungi saya kembali sebab anak nak cakap dengan dirinya. Tapi suami beritahu, kredit tak ada, itulah mesej terakhir darinya.
"Sebelum itu, saya ada mengadu padanya, kakak luka sedikit di kaki dan turut maklumkan anak-anak makan dengan berselera sup ayam yang saya masak. Suami ada minta tunggu dia balik untuk makan bersama-sama. Suami juga ada minta dibuatkan nasi lemak kerana hari Jumaat itu dia cuti. Saya mengiakan semua kata-katanya.
“Malahan, lebih sebulan kami tidak berjumpa kerana saya masih timggal di Hulu Langat dan suami pula di Kuala Krai kerana tempat kerjanya di sana. Rumah yang kami tinggal ini juga adalah Projek Perumahan Rakyat Bandar Baru Gua Musang yang baru seminggu kami duduki. Rumah pun belum penuh dengan barang-barang keperluan rumah.
“Hanya ada peralatan asas sahaja seperti dapur memasak, tilam dan serba sedikit barangan lain. Suami ada janji mahu belikan barang-barang baru kerana dia dapat duit lebih sedikit bulan itu,” katanya seakan menahan sebak.
Seakan sehidup semati, bagaikan ada kuasa magnet antara pasangan suami isteri ini, kala motosikal suaminya terbabas ke longkang dan kesakitan merenyut dirinya, masa yang sama di rumah, Kamillya terasa seperti hendak bersalin di rumah. Sakitnya bukan kepalang, seolah-olah air ketuban sudah pecah.
“Sekitar jam 9 malam, saya menelefon suami sebab saya terasa sakit seperti hendak bersalin. Saya menangis sendirian di rumah kerana terlalu sakit. Masa yang sama, saya cuba menelefon suami tetapi tidak diangkatnya. Sakit seperti hendak bersalin terlalu kerap dan akhirnya bila suami tak angkat, saya diamkan saja sebab tak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi. Niat saya ketika itu, hanya mahu suami bawa ke hospital, mana tahu ada masalah pada kandungan,” katanya sama sekali tidak menyangka yang mereka seakan “bertukar kesakitan” kerana di saat dia terasa seperti hendak bersalin itulah, suaminya juga sedang bertarung nyawa selepas motosikalnya terbabas ke dalam longkang.
“Ada saksi memaklumkan sebaik terbabas ke dalam longkang itu, motosikalnya menghempap dirinya. Ketika itu, suami tidak bertembung dengan sesiapa, lokasinya juga di selekoh. Motosikalnya terus terjunam ke dalam longkang. Orang ramai menemuinya berdekatan sekolah Chiku 3 dan ambulan dari Klinik Kesihatan Felda Chiku 3, Gua Musang yang datang mengambilnya,” katanya yang terus tunduk, mungkin menahan sebak di dada.
Bukan mudah untuk dirinya yang dalam keadaan sarat mengandung berhadapan dengan satu situasi sukar, apatah lagi perlu membesarkan dua orang anak yang masih kecil iaitu Nur Raisya Nabilla, 3 tahun dan Natasya Nabilla, 2 tahun.
“Lepas ini awak kerja la…”
Pasangan suami isteri ini bertemu ketika di Kuala Lumpur, saat di mana Kamillya bekerja di Kuala Lumpur Internasional Airport (KLIA). Berkenalan dan akhirnya mereka dijodohkan pada usia yang agak muda, masing-masing 21 tahun. Disebabkan kerja tidak tetap di sebuah syarikat, mereka sentiasa pindah randah termasuklah arwah Sharul Azrin pernah bekerja di Johor, Bangi dan sebagainya. Malah mereka pernah menetap di kediaman keluarga Kamillya lebih dari setahun.
“Dulu, sebutlah tentang kerja, suami langsung tak izinkan. Dia cukup sensitif bila saya suarakan untuk bekerja. Ada sekali tu, suami beritahu, selepas bersalin nanti saya kena kerja. Banyak kali saya tanya, betul ke yang saya boleh kerja kerana dia memang tidak pernah benarkan saya bekerja sebelum ini.
“Tapi kali ini dia bersungguh-sungguh menyuruh saya bekerja selepas habis pantang. Mungkin suami nak beritahu yang dia tiada lagi tapi saya tak dapat menangkap maksudnya ketika itu,” katanya lagi.
Tiada Lagi Panggilan Papa
Dalam pada itu, Kamillya berkata, disebabkan sudah sebulan lebih tidak bertemu anak sulungnya menjadi cukup rapat dan langsung tidak melepaskan peluang berkepit walaupun ayahnya mahu ke bilik air.
“Bila ayahnya ingin masuk bilik air pun dia nak ikut. Berpaut saja pada kaki ayahnya sampai tak boleh bergerak ke mana-mana. Adik pun sama, Tasya tapi keadaannya lebih baik sedikit berbanding kakaknya.
“Mungkin ketika itu, baik Raisya dan Tasya sudah merasakan mereka bakal kehilangan ayah dan kerana itulah pelukan tak pernah lekang. Memang benar, selepas ini, tiada lagi panggilan ‘Papa’ dari kedua-duanya,” katanya memaklumkan kedua anaknya tidak sihat dan sentiasa merengek selepas ayah mereka selamat di ke bumikan.
Mengakui belum tahu jantina bayi di kandungnya kerana belum dibuat imbasan lagi, sukar untuk Kamillya membayangkan bagaimana dia harus mendepani semua keadaan, dalam keadaan dia berseorangan.
Lebih memeritkan, suaminya tidak mempunyai potongan Socso mahupun KWSP yang boleh mereka gunakan untuk menampung pendapatan di masa-masa akan datang.
“Sebelum bekerja di syarikat ini, suami ada buat kerja lain. Dulu saya ingat, arwah suami cuma ada beberapa kali potongan Sosco dan dengan majikan baru ini tiada. Tak tahu nak buat macam mana kerana semuanya masih kabur,” katanya memaklumkan tugasan suaminya adalah mengambil sampel tanah dan dihantar ke jabatan untuk dibuat kajian, sama ada tanah di situ sesuai atau tidak dibuat jambatan kerana syarikat tempat suaminya bekerja sudah mendapat kontrak membina jambatan baru Kuala Krai bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh dalam banjir besar melanda Kuala Krai dua tahun lalu.
“Dalam saya membaca Yasin, arwah anak pergi jua…”
Kesedihan kehilangan arwah Mohamad Sharul Azrin tidak hanya ditangisi oleh anak dan isterinya tetapi turut dirasai oleh ibu yang melahirkannya. Menurut emak arwah, Siti Rupawan Taib, 47 tahun, pada malam kejadian, dia menerima panggilan telefon dari Klinik Kesihatan Felda Chiku 3.
“Selepas terjatuh ke dalam longkang itu, arwah masih sempat memberitahu nombor telefon saya kepada petugas kesihatan. Sekitar jam 11 malam, saya dapat panggilan telefon tetapi ketika itu saya sudah tertidur. Tetapi disebabkan deringan, saya menelefon semula nombor tertera. Ketika itulah dia meminta saya banyak-banyakkan bersabar.
“Dia meminta saya segera ke Hospital Kuala Krai kerana katanya keadaan anak parah. Darah memenuhi wajahnya. Bila mendengar berita sebegitu, saya bersama suami dan adik ipar menuju ke sana. Mula-mula tak mahu susahkan isterinya sebab dia tengah mengandung tetapi Kamillya kata mahu ikut sama dan tak kisah dengan keadaannya.
“Sesampainya di Hospital Kuala Krai, lebih kurang dua jam perjalanan dari Gua Musang, doktor memaklumkan keadaan anak sangat parah. Tengkorak kepalanya pecah. Rusuknya juga patah dan telah menikam ke paru-paru. Banyak berlaku pendarahan dan biarpun usaha sudah dilakukan untuk menghentikannya seketika tetapi keadaan tetap sama. Mereka mahu menghantar anak ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana di situ kelengkapannya lebih lengkap.
“Kami sampai di HUSM lebih kurang jam empat pagi. Keadaan anak sudah tidak sedarkan diri dan diberi mesin bantuan pernafasan. Doktor menerangkan risiko dalam situasi anak ketika itu. Katanya bacalah apa saja, Yasin dan sebagainya. Malah doktor meminta kami memanggil saudara terdekat untuk melihatnya. Buat masa itu, pihak hospital memberi ubat untuk menghentikan pendarahan sahaja. Bila saya tanya berapa hari anak boleh bertahan, kata doktor cuma sehari sahaja,” katanya yang tinggal di Kampung Batu Papan Gua Musang dalam keadaan tenang.
Ternyata Allah lebih menyayangi hambaNya. Perginya juga pada Penghulu segala hari iaitu Hari Jumaat yang sangat dimuliakan.
Dalam pada ibunya berbual-bual dengan doktor, saat di toleh, ketika itu ajal sudah menjemput Sharul Azrin. Dirinya pergi dalam keadaan tenang dan sempat diajarkan mengucap oleh ahli keluarga.
Kata Siti Rupawan yang juga seorang suri rumah tangga, anaknya itu sempat menghantar karipap sardin kepadanya pada pagi berkenaan di mana anaknya itu kelihatan sibuk mencari kiub ayam untuk dibuat sup ayam. Perginya anak kedua yang langsung tidak pernah menyusahkan dirinya itu membuat dia terkesan. Lebih susah kerana memikir keadaan dua orang cucu dan isteri yang tiada sumber pendapatan.
Hilanglah segala kasih sayang sementara di dunia ini. Tiadalah lagi janji mahu membawa anak ke zoo seperti diucapnya. Begitu juga janjinya mahu membeli baju raya juga tiada kesempatan. Memang banyak janjinya tetapi Allah lebih menyayanginya terlebih dahulu.
Paling terkesan sudah pastilah isterinya kerana dia tiada sumber kewangan. Rumah PPR Bandar Baru Gua Musang itu diletakkan di atas nama arwah suaminya dan baru sebulan saja dibayar dengan sejumlah RM254 sebulan termasuk api air. Belum puas menduduki rumah baru kerana mereka baru seminggu berpindah ke sana.
Al Fatihah untuk arwah Mohamad Sharul Azrin yang meninggal dunia tanggal 17 Mac lalu. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beramal soleh.
Bagi pembaca yang ingin meringankan bebanan ibu muda yang sarat mengandung dengan dua orang anak yang masih kecil ini, bolehlah salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 14154-41-00008501-4 atas nama Kamillya Saharzat. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa baik.
Blogger Comment
Facebook Comment