( Info ) 5 Tips Untuk Memilih Tadika Yang Sempurna Untuk Anak-Anak Anda
Memilih tadika untuk anak-anak adalah antara perkara yang penting bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Kebiasaannya, apabila anak mencecah umur 3 tahun, ibu bapa sudah mula mencari tadika yang sesuai.
Ada sesetengah ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak seawal umur 3 tahun dan ada yang hanya mula menghantar anak mereka selewat umur 6 tahun.
Berikut dikongsikan 5 tip untuk memilih tadika yang sesuai.
Program dan kurikulum
Dapatkan makluman dan fahami akan bentuk program dan jenis kurikulum yang digunakan. Sebagai ibu bapa, kita perlu menyeimbangkan apa yang kita mahu untuk anak-anak dengan kebolehan anak-anak kita.
Program di tadika biasanya melibatkan perkara asas seperti:
+ bahasa yang digunakan
+ aktiviti semasa dan pengendaliannya
+ kandungan akademik dan bukan akademik
+ penyusunan kelas dan waktu pembelajaran
+ jumlah murid dan guru dalam kelas dan seluruh tadika
Contoh 1:
Sekiranya anak kita yang berumur 4 tahun itu langsung tidak mempunyai pendedahan Bahasa Inggeris, menghantar anak ke tadika yang menggunakan bahasa Inggeris memerlukan sokongan dan persediaan kita di rumah.
Contoh 2:
Sekiranya anak kita tidak terdedah dengan suasana persekitaran yang ramai dan bising, program yang bersifat lebih menjurus kepada kendalian kumpulan pembelajaran kecil adalah lebih sesuai sebagai permulaan.
Kesemua aspek diatas lebih menitikberatkan kesesuaian anak dan apa yang mudah serta sesuai untuk anak. Bukan apa yang kita fikirkan perlu dan boleh untuk anak kita.
Guru dan kakitangan
Dapatkan sebanyak mungkin maklumat asas tentang guru dan kakitangan yang mengendalikan tadika.
‘Owner’ atau pemilik tadika yang bagus tidak menjanjikan tadika itu bagus. Latar belakang pemilik tadika memberikan kita 30% keyakinan tentang keseluruhan pengurusan bisnes dan program tadika itu.
Seterusnya, pastikan kita sebagai ibu bapa bercakap dengan guru dan juga pengetua tadika berkenaan. Pastikan adanya keseimbangan antara guru muda dan berusia, guru lama dan baru.
Tanyakan soalan yang lebih menjurus kepada memahami falsafah pendidikan di tadika itu.
Contoh:
“Untuk anak 4 tahun, biasanya apakah aktiviti di tadika yang dikongsikan bersama ibu bapa di rumah?”
“Apabila ada sebarang ‘homework’ apakah caranya tadika berkomunikasi dengan ibu bapa?”
“Anak saya ini merupakan anak tunggal. Apakah ada masalah nanti apabila dia masuk dalam kelas yang besar?”
Daripada jawapan soalan yang dikemukakan, ibu bapa akan dapat melihat beberapa perkara:
+ pengetahuan dan kemahiran pengetua/ guru tentang pengendalian anak
+ kemahiran komunikasi kakitangan tadika
+ budaya kerja di tadika itu
+ komitmen mereka kepada perkembangan anak-anak
+ kesabaran melayani karenah anak dan ibu bapa
Suasana pembelajaran
Pastikan tadika yang menjadi pilihan dilawati. Bawa bersama anak-anak agar mereka juga turut sama mengenal suasana pembelajaran di tadika pilihan.
Lihat beberapa faktor penting tentang suasana pembelajaran:
+ kebersihan
+ keceriaan
+ ruang
+ fasiliti
+ alat pembelajaran
Ruang yang wajib ibu bapa lihat ialah tandas, ruang makan/rehat, kelas dan rak penyimpanan kasut. Bersih bermaksud tiada habuk dan sampah sarap yang bertaburan.
Keceriaan termasuklah apa yang dipanggil ‘sedap mata memandang’. Apabila pintu masuk tadika atau kelas sudah dimulakan dengan hidangan mata melihat sampah dan tong sampah atau rak buku yang bersepah, tadika itu mesti kita senaraikan dalam kategori ‘to be considered’.
Ruang yang cukup luas dan mencukupi juga penting. Dapatkan maklumat dan penerangan daripada kakitangan tadika tentang bagaimana mereka menyusun dan menangani situasi ‘sempit’ dalam kontens tertentu yang berkenaan.
Dapatkan maklumat jumlah murid dan guru dalam setiap ruang itu. Buat kira-kira asas. Tiaklah mungkin tadika dapat menyediakan ruang seperti di rumah kita. Namun, ruang yang munasabah untuk bilangan murid tertentu adalah perlu.
Lihat fasiliti dan alat pembelajaran yang ada. Pilih tadika yang mempunyai kekayaan sumber buku cerita, bahan bacaan kanak-kanak dan permainan yang merangsang anak.
Bukanlah ia sebuah tadika jika sebiji bola pun tiada di situ.
Sistem pengurusan
Dapatkan panduan dan maklumat bagaimana tadika itu menguruskan operasi hariannya. Tanyakan perkara asas seperti:
“Bagaimana caranya saya boleh membayar yuran bulanan?”
“Sekiranya saya ada notis, dengan siapa dan bagaimana saya berhubung dengan tadika?”
Pilih tadika yang:
+ mempunyai lebih daripada 1 cara komunikasi
+ mempunyai pilihan cara pembayaran
+ mengamalkan polisi pintu terbuka
+ mempunyai sistem rekod pembayaran yang jelas
Kita sedia maklum. Sama ada tadika murah atau mahal, lama atau baru, mereka mesti mempunyai sistem pengurusan kewangan asas yang cukup kuat. Tadika yang mempunyai dana kewangan yang cukup sahaja yang boleh memberikan khidmat seperti yang kita mahu.
Fasiliti dan guru yang baik memakan mempunyai kos sendiri. Kita semua sedia maklum.
Bajet
Ini adalah kriteris yang paling penting. Sebagai ibu bapa, apakah bajet kita untuk memilih tadika untuk anak. Anak-anak mempunyai senarai perbelanjaan masing-masing.
Susunkan dan buat kira-kira asas. Nombor sahaja bukanlah faktor pilihan utama. Ianya bergantung kepada bajet dengan asas pemilihan.
Apakah asas pilihan kita?
Contoh :
Tadika A
Yuran bulanan = RM280
Pilihan program hujung minggu, tidak wajib.
Yuran tahunan = RM1100
Jumlah keseluruhan murid di tadika = 50 (Kumpulan kecil)
Tadika B
Yuran bulanan = RM270
Pilihan program tidak ada
Yuran tahunan = RM1500
Jumlah keseluruhan murid = 150 orang
LIHAT semua asas pemilihan yang merupakan objektif kepada keperluan menghantar anak ke tadika. Antara sebahagian besar objektif biasa menghantar anak-anak ke tadika:
+ boleh membaca, menulis, mengira
+ boleh bertutur dalam bahasa tambahan (Inggeris, Arab atau Mandarin)
+ boleh bersosial
Ibu bapa sendiri yang boleh membandingkan nilai tawaran antara Tadika A atau Tadika B. Pilih yang sesuai untuk anak-anak mengikut keperluan mereka dan dalam kerangka mampu ibu bapa.
“Kemampuan ibu bapa itu penting, keperluan anak itu yang menjadi keutamaan.”
Credit: http://tadikaabs.com
Blogger Comment
Facebook Comment