Hanya kerana terlalu ghairah dengan media sosial, ramai yang obses untuk berkongsi rasa dan apa yang ada. Tanpa disedari, ada golongan yang sedikit cemburu apabila melihat apa yang orang lain miliki. Namun sebenarnya anda mampu tepis emosi itu apabila membaca perkongsian Bonda Nor ini...
Malam tadi seorang gadis manis menghantar mesej kepada saya.. Ringkas cerita.. antara ayatnya..
"Saya teringin sangat nak jadi macam Bonda Nor.."
Allahu.. mesej ini tiba-tiba buat saya terasa malu. Mengenang segala kekurangan dan kelemahan saya, terasa bagai Allah sedang menyindir pula..
Untuk gadis manis tadi yang mungkin sedang membaca status ini.. dan untuk sahabat-sahabat saya yang baik budi, nah..cuba lihat gambar yang saya beri ini. Cantik viewnya, kan? Cantik sungguh pemandangan bersalji, kan?
Begitulah. Sewaktu ke Pesta Floria Putrajaya baru-baru ini, tapak yang satu ini kelihatan begitu unik sekali. Seluruh kawasan yang lain dipenuh bunga, tetapi di tapak yang satu ini berbeza. Ia dipenuhi salji.
Aduhai.. Dari kecil saya berangan-angan mahu bermain dengan salji. Lalu dengan segera saya mengabadikan kenangan di sini.
Memang cantik! Tapi sayang sekali.. ini bukan salji. Ini buih sabun. Ya.. Mesin yang bersungguh mengeluarkan rerambu putih itu bukan pengeluar salji atau ais kisar atau apa-apa yang seumpamanya. Ia menerbangkan buih sabun sahaja.
Namun pengunjung yang datang tetap teruja. Termasuk saya. Masing-masing sibuk bergambar. Aneh juga. Berbahagia dengan sesuatu yang palsu? Untuk apa? Untuk suka-suka? Untuk dipamerkan pada dunia?
Subhanallah. Inilah yang mahu saya sebut tentang hakikat dunia. Peluang berdamping dengan ramai selebriti ternyata berhasil membuka mata saya. Sungguh. Hidup mereka kelihatan begitu sempurna di media, namun hakikatnya - mereka juga seperti kita. Banyak kurangnya.. banyak masalah mereka. Dalam pada mereka tersenyum bahagia untuk dipamerkan pada dunia, di sebaliknya kadang kehidupan mereka lebih huru hara!
Di saat mereka menayang gambar-gambar mesra dan menadah pujian demi pujian, kadang saya hanya mampu geleng kepala. Hakikatnya saya tahu mereka sedang bertengkar dan ada yang sedang berjuraian air mata!
Maka.. fahamlah saya mengapa dunia ini dikatakan pentas lakonan. Maka dengarlah sini apa yang mahu saya sampaikan..
"Ketika engkau cemburu melihat seorang suami yang romantik sekali, barangkali engkau tidak tahu betapa dia sedang mencurangi seorang isteri.
Ketika engkau melihat seorang isteri yang begitu bersopan santun, barangkali engkau tidak tahu sikapnya yang suka memaki hamun.
Ketika engkau melihat sebuah keluarga kaya yang tampak gembira melancong ke sini sana, barangkali engkau tidak tahu betapa kedekut dan berkiranya hidup mereka.
Maka saat engkau melihat kebahagiaan lalu di depan matamu, jangan terlalu mudah berasa cemburu. Sungguh.. banyak yang palsu!
Maka jangan cemburu dengan apa yang engkau fikir tidak ada pada dirimu. Percayalah.. Allah Maha Adil dan tidak pernah tersilap mengagihkan sesuatu."
Sungguh.. sejak Allah beri peluang kepada saya berdamping dengan 'manusia-manusia yang kelihatan sempurna'.. hidup saya lebih tenang. Pada setiap lebihnya mereka, saya tahu banyak yang kurang.
Maka saya kini mampu berdepan tekanan saat sesekali suami saya bersikap tidak peduli. Saya sudah lihat bagaimana 'watak sebenar' seorang suami yang kononnya disebut-sebut suami mithali.
Maka saya tidak cemburu melihat anak-anak orang lain berjaya. Saya sudah berdepan sendiri dengan anak-anak yang dipamerkan kejayaan akademik mereka namun hakikatnya miskin adab dan tiada budi bahasa.
Saya tidak lagi kisah kalau kesempitan wang. Saya sendiri pernah menjadi tempat untuk sesetengah selebriti terpaksa berhutang.
Sungguh. Saya sedar hidup saya masih banyak yang kurang. Tapi saya tenang. Maka dengarlah pesanan saya.. Untuk tenang.. tidak perlu kita mendambakan kehidupan sesiapa. Ketenangan tidak akan wujud pada jiwa manusia yang mengharap sempurna.
Malam tadi, sewaktu menaip mesej balas buat si gadis manis itu tadi.. saya hanya mampu memberi pesanan ringkas ini. Ia juga pesanan yang selalu saya pesan pada diri sendiri..
"Saya pun banyak kelemahan juga. Banyak yang kurang juga. Jadilah yang terbaik untuk diri sendiri ya. Hargai dan syukuri apa yang ada."
Sahabat yang baik, beranilah menjadi diri kita. Jangan cemburu dengan nasib baik orang lain yang kita lihat kerana kita tidak tahu kesusahannya yang kita tak nampak. Kita percaya setiap orang ada bahagian ujian masing-masing. Kita kena. Mereka juga!
Justeru.. berbahagialah dengan keadilan Allah. Berbahagialah dengan apa yang ada dan apa juga pilihan takdir Allah buat kita. Sungguh. Itulah yang sebaik-baiknya.
Sumber: Bonda Nor
Blogger Comment
Facebook Comment