- Suami bukan hak kita selamanya, mungkin Allah mengambilnya kembali
- Para isteri, persiapkanlah diri agar boleh mengambil alih kerja suami jika mereka sudah tiada
- Jangan jadi isteri yang kerjanya membelek muka. Dah putih nak putih lagi.
Oleh Abd Ghani Haron
Saya nak bercerita dua kisah wanita yang ditinggalkan suami, datang menemui saya kelmarin. Bacalah, untuk menjernihkan jiwa, menjulang setinggi kesyukuran dengan apa yang kita ada. Saya terpaksa merahsia nama untuk menjaga aib.
KISAH 1
Seorang wanita penghujung 30-an mengunjungi rumah saya sambil menggendong anak kecil untuk mendapatkan buku tulisan saya. Sambil itu dia meminta bantuan pampers.Saya menyatakan bantuan pampers sudah habis. Dia hanya diam dan meminta diri denga buku saya di tangannya. Bila dia pergi, saya rasa tak sedap hati lalu menyuruh anak saya pergi melihat dia datang dengan apa. Subhanallah! Dia datang dengan kereta Kancil dan ada 7 kanak-kanak di dalamnya.
Saya menghubunginya semula di WhatsApp dan diceritakan dia ditinggal suami (menghilang) dengan anak 7 orang yang masih kecil. Hidup berniaga di depan rumah. Ada bantuan JKM dan zakat, tetapi membayar ansuran rumah RM220 sebulan. Berebut hidup antara mengurus anak sekolah, berniaga sambil menggendong anak kecil. Terakhir, ada pula yang mencuri tong gas yang diguna untuk berniaga.
"Saya cuma ada dua ringgit ketika nak datang jumpa cikgu tadi," katanya.
Ya Allah. Bila saya bertanya apa yang boleh saya bantu, dia hanya meminta pampers. Katanya susu anak dibantu oleh sebuah klinik. Kalaulah anda ditempat dia, bagaimana? Mengharung hidup yang belum tentu esok apa akan disuap kepada anak?
Saya kagum,dia tidak meminta wang ringgit, tetapi dia meminta keselesaan untuk anak kecilnya, dia tidak meminta untuk dirinya.
KISAH 2
Seorang wanita muda menghubungi saya meminta berhutang RM165.00 untuk membayar ansuran motor kali pertama. Dia dicerai suami, tanpa anak. Lalu meminta bekerja di sebuah tadika untuk kelansungan hidup. Rumah sewa yang jauh dari tadika itu menyebabkan dia bermalam di tadika. Dia bercadang nak beli motor untuk berulang alik ke tempat kerja. Dengan keadaannya yang serba tidak ada, dia diminta bayar deposit RM28 sahaja untuk beli sebuah motor yang harga hutangnya RM5,000 dan ansuran RM165.00 sebulan. Deposit RM28 itupun dipecah, RM18 untuk tuan kedai dan RM10 untuk orang yang rekomen.
Saya mengagak, mungkinkah dia hanya ada RM28 ketika pergi nak beli motor itu? Masalahnya dia tidak dapat nak cari RM165 kerana belum dapat gaji pertama bekerja ditadika. Apakah dia masih ada duit untuk mengisi perut?
Saya tanya dia berulangkali betulkah dia bayar deposit RM28, Akhirnya dia tunjuk resit bukti. Ya Allah. Jika anda berada di tempat dia, ditinggal suami dan tiada apa bekalan hidup, bagaimanakah anda akan hadapi hidup ini?
ISTERI BERSYUKURLAH ADA TEMPAT BERGANTUNG
Dua kes ini saya penuhi permintaan mereka, saya nak beri lebih lagi dengan duit projek sedekah jariah jika sumbangan ke projek ini bertambah. Saya kemukakan kes ini untuk menjadi iktibar kepada wanita berkahwin. Bersuami itu satu rahmat dan bersyukurlah ada tempat bergantung. Apa dan siapa suami kita, itu ketentuan Allah. Tetapi ingatlah, suami bukan hak kita selamanya, mungkin Allah mengambilnya kembali, mungkin dia meninggalkan kita, mungkin sakitnya yang terlantar membuat kita sendirian menanggung anak.
Maka saya nak mengingatkan para isteri supaya berikhtiar mempersiapkan diri supaya boleh memandu untuk mengurus anak bersekolah dan sakit demamnya serta untuk cari makan jika suami telah tiada. Berusahalah untuk membina diri dengan kemahiran untuk berniaga kecil-kecilan, memasak makanan, kuih, menghasil barangan kerja tangan dan lain-lain.
Ambil tahu urusan bank, urusan bayaran bil, urusan pelesenan, pendidikan, sumber bantuan yang ada dan serba serbi yang suami buat supaya bila dia tiada atau tidak mampu buat, kita tidak terkapai-kapai dan boleh ambil alih dengan mudah.
Jangan jadi isteri yang kerjanya membelek muka. Dah putih nak putih lagi. Yang sibuk dengan tudung beraneka fesyen ,yang sibuk dengan makanan yang sedap, yang menggantung seluruh hidup pada suami.
Ingat, suatu hari dunia anda mungkin terbalik pusingannya. Persiapkan diri, Bukan kita mengharap, tetapi ambillah iktibar atas apa yang berlaku kepadaa wanita lain. Ini bukan kehendak mereka dan bukan kehendak kita, tetapi ujian dari Allah. Jangan hanya berserah tetapi bersiaplah untuk mengharunginya. Jangan kerana suami mati, kita pun ibarat kena mati kerana tiada pergantungan ibarat satu adat dalam agama lain.
Wujudkan simpanan, tabungan. Jika suami bekerja dengan sektor swasta, pastikan dia mencarum dengan Perkeso sebagai persediaan berlaku sesuatu kepada suami. Jika mampu ambil takaful untuk anak kerana anak tidak ditanggung Perkeso. Jika pegawai kerajaan, masalah ini tidak timbul.
Bila berumahtangga,berusahalah untuk membeli rumah dengan pinjaman berinsuran, jangan sibuk upgrade kereta kerana jika berlaku sesuatu kepada suami, sekurang-kurangnya kita ada tempat berteduh.
Ketika membeli barang di sebuah kedai barangan beku pada lewat petang, saya lihat seorang wanita muda menggendong anak kecil dalam anduh yang disangkut dilehernya memilih barangan beku untuk berniaga. Dia nampak sangat bersemangat sedang anak kecilnya yg menghisap jari didakap erat dengan sebelah tangan dalam anduh. Manakala tangan yang lagi satu ligat memilih berbagai keperluannya.Saya jangka dia antara wanita contoh yg saya bicarakan disini, berdikari merempuh hidup tanpa suami.
from The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment