Saya berusia 33 tahun, sudah berkahwin dan punya tiga orang anak. Bukan tujuan saya mahu mengaibkan rumah tangga sendiri tetapi saya perlukan seseorang untuk meluah rasa kecewa tentang rumah tangga saya.
Saya berkahwin dengan suami atas dasar suka sama suka. Dua minggu sebelum berkahwin, saya mendapat berita yang sangat mengejutkan malahan saya tidak menyangkanya sama sekali. Tunang saya berlaku curang.
Lebih menyedihkan lagi, dia ditangkap bersama seorang perempuan dalam sebuah bilik hotel dalam keadaan berbogel. Ya Allah, berat sungguh hati saya mahu menerimanya.
Memandangkan segala persiapan kahwin telah siap dilakukan. Saya memilih meneruskan saja ikatan perkahwinan. Janjinya, dia mahu berubah. Bila dia mengakui wanita itu cuma adik angkat dari utara tanah air dan mahu mencari kerja di sini, saya pasrah dengan jawapan itu.
Dia ke hotel itu untuk adik angkatnya itu bermalam di sana sebelum duduk bersama rakan-rakan wanita. Kerana sayang, saya menerima apa sahaja yang dikatakannya. Majlis diteruskan dan saya mengharapkan kebahagiaan darinya.
Selepas dua bulan berkahwin, mood suami mula berubah. Tanpa usul periksa dia akan marah-marah dan menengking saya. Bila saya tanya berkenaan masalahnya. Suami tidak menjelaskan. Cuma katanya, moodnya memang sentiasa berubah-ubah.
Suami juga mulai kerap keluar rumah. Suatu hari dia mengakui masih lagi berhubungan dengan adik angkatnya itu. Katanya cintanya pada adik angkat makin mendalam. Ketika itu saya sedang mengandung anak sulung. Hiba benar hati saya. Sampai hati suami bertindak demikian. Saya cuma mampu menangis dengan perlakuan suami. Sungguh saya tak menyangka dia sanggup menduakan saya. Kekesalan di hati mulai menjelma.
Keluarga masuk campur
Saya meminta diceraikan selepas dia mengaku tidak boleh hidup tanpa adik angkatnya itu. Luluh hati ini. Sukar sekali memaafkan diri dengan kecurangan yang dia lakukan. Saya nekad angkat kaki tetapi ahli keluarganya masuk campur.
Ibu bapanya menasihati suami agar berubah dan kembali kepada saya. Mereka pula tidak setuju adik angkat itu menjadi bakal menantu. Kasihankan saya yang ketika itu mengandung dua bulan, suami mengakui kesilapan dan berjanji tak mengulangi kesilapannya.
Jujurnya, saya teramat sayangkan suami dan ingin sehidup semati dengannya. Saya percaya yang suami tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang pernah dilakukan. Hidup kami kembali bahagia. Kegembiraan itu menghadirkan tiga orang cahaya mata dari perkahwinan ini.
Tahun lalu, saya terhidu kembali kecurangan suami. Ketika dia tertinggal telefon bimbit. Banyak sekali mesej masuk ke peti mesej dari seseorang bernama Sayang, Cinta dan sebagainya.
Hati saya kembali hancur mengenang nasib diri. Kenapa suami tiada hentinya melakukan kecurangan? Apa dosa saya kepadanya? Tidak pernahkah suami terfikir akan hati dan perasaan ini? Apa kemahuannya yang tidak saya turuti. Semua kehendaknya terutama batin saya layani biarpun ada ketikanya saya kepenatan.
Suami lupa segala janji-janjinya yang mahu menjaga saya dan anak-anak dengan baik, penuh kasih sayang dan tak akan curang lagi?
Semakin luluh hati ini apabila suami mengakui dia pernah terlanjur dengan adik angkatnya itu. Hari itu, kami bergaduh besar. Kali ini saya nekad tinggalkan dia. Saya sudah tidak tahan lagi diperlakukan begini. Tapi kali ini, keluarga saya pula meminta saya memaafkan suami kerana anak-anak masih bersekolah rendah. Suami saya juga menangis, merayu agar saya memaafkan dirinya dan bersumpah tidak akan mengulanginya lagi. Sekali lagi saya lembut hati dan menerimanya.
Biarpun saya terima, hati dan perasaan saya masih tidak boleh melupakan apa yang dia telah lakukan kepada saya. Setiap masa, setiap hari saya masih memikirkan lagi semua perbuatannya termasuk kecurangan yang dia lakukan terhadap rumah tangga kami.
Saya takut suami akan melakukannya lagi. Berdosakah saya kalau mencurigai suami? Kalau suami betul-betul sudah berubah, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, apa yang harus saya lakukan? Tolonglah saya? Patutkah saya melayan suami seperti biasa atau adakah kerana terpaksa demi anak-anak yang masih kecil. Bantulah saya...
Nota:
Mungkin ada yang melalui situasi yang sama dengan wanita ini, untuk ketahui apa yang anda perlu lakukan dan baiki emosi perlahan-lahan, anda boleh semak dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1729 yang sudah ada di pasaran.
Baca di website
Blogger Comment
Facebook Comment