Stevia adalah pemanis bukan gula yang digunakan dalam makanan dan industri pembuatan makanan dan minuman. Pilihan menggunakan stevia juga dibuat oleh pesakit diabetes dan orang-orang yang mahu mengehadkan gula dan kalori dalam diet mereka.
Stevia diekstrak dari tumbuhan family Asteraceae terutamanya Stevia rebaudiana. Tumbuhan telah digunakan sejak berzaman oleh Puak Guarani do Amerika Selatan. Tumbuhan stevia juga adalah natif di Brazil dan Paraguay yang digunakan oleh penduduk tempatan dalam penyediaan teh tradisi mereka.
Bahan aktif yang memberikan rasa manis dalam stevia dipanggil glikosida stevia (steviol, stevioside, rebaudioside). Stevia dikatakan memberikan rasa manis 100-200 kali lebih tinggi dari sukrosa (gula didapur kita). Stevia juga stabil apabila dipanaskan dalam suhu tinggi (proses memasak), stabil dalam pH yang melampau (dalam perut kita) dan tidak terlibat dalam proses penapaian.
MENGAPA PESAKIT DIABETES DAN ORANG YANG PERLU MENGEHADKAN KALORI SESUAI MENGAMBIL STEVIA?
Glikosida secara umum adalah suatu kompaun yang berikatan dengan glukosa (gula – Gula Oh Gula….). Steviol contohnya mempunyai glukosa yang berikatan dengan molekul diterpene steviol.
Deria rasa dilidah kita akan bereaksi dengan glukosa pada molekul steviol tersebut. Rebaudioside contohnya, mempunyai lebih banyak molekul glukosa yamg berikatan padanya. Jadi ia berkemampuan untuk memberikan ‘rasa manis’ yang lebih tinggi pada deria kita. Namun, ada juga yang mengatakan ia juga mampu memberikan rasa pahit selepasnya. Ini adalah disebabkan kehadiran kompaun aglycones dalam ekstrak stevia tersebut.
Dalam sistem pencernaan kita glikosida stevia ini akan decernakan kepada steviol dan glukosa. Tetapi, kerana penggunaan amaun stevia yang sangat sedikit untuk memberikan kesan manis berbanding gula biasa, amaun glukosa ini adalah juga sangat sedikit untuk memberikan kesan terhadap pertambahan kalori dan peningkatan gula dalam darah. Steviol pula tidak dapat dicerna oleh tubuh dan akan terus dikumuhkan.
GLIKOSIDA STEVIA
Glikosida stevia yang digunakan dalam pembuatan pemanis makanan biasanya dari kumpulan rebaudioside kerana fungsinya yang memberikan rasa manis dengan lebih effektif. Kompaun ini, seperti gula (kerana ada kumpulan glukosa yang berikatan padanya), adalah larut air. Jadi pengekstrakan stevia selalunya menggunakan kaedah mekanikal untuk menghancurkan daun stevia dan menggunakan air sebagai pelarut. Seperti pembuatan gula!
Tidak dinafikan ada juga syarikat yang mesih menggunakan kaedah pelarutan menggunakan alkohol untuk ‘memekatkan’ atau menjadikan ekstrak stevia tadi dalam bentuk kristal. Namun banyak teknologi yang telah berkembang dengan menggunakan teknik ultrasonic, microwave dan pelbagai teknik baru yang menghasilkan kompaun glikosida dengan amaun yang lebih tinggi dan bermutu.
MALTODEXTRIN DAN ERYTHRITOL DALAM STEVIA
Maltodextrin adalah polisakarida – rantaian gula panjang. Ia banyak terdapat dalam makanan berkanji seperti nasi, gandum, kentang, jagung. Polisakarida ini dalam pemprosesan makanan biasanya diperoleh dari pemprosesan hidrolisis kanji gandum dan jagung. Kanji adalah kanji… GMO atau tidak, kanji tetap berbentuk rantaian glukosa-glukosa-glukosa-glukosa….
Erythritol pula adalah kompaun organik hasil dari penapaian glukosa yang biasa terdapat dalam buah-buahan dan makanan yang ditapai. Dalam pemprosesan industri, erythritol diperolehi hasil dari penapaian glukosa oleh yis Moniella pollinis. Erythritol ini dikatakan lebih 60% manis dari gula biasa dan tidak dapat digunakan oleh tubuh seperti glukosa. Jadi ia juga adalah salah satu jenis pemanis tanpa kalori yang digunakan dalam pembuatan pemanis bukan gula.
Jika anda ragu-ragu, boleh saja anda cari produk stevia yang tidak mengandungi kedua-dua bahan ini.
ADAKAH PRODUK BERASASKAN STEVIA SELAMAT?
Produk berasaskan stevia (dalam bentuk ekstrak tulen atau highly purified) telah disahkan selamat dan diluluskan untuk kegunaan manusia sejak 1996. Malah penggunaannya di Jepun telah meluas dan Jepun adalah pengguna produk stevia tertinggi di dunia. Ia adalah selamat dan baik digunakan dalam diet harian sebagai pengganti gula.
Namun ia adalah bahan makanan dan BUKAN UBAT yang boleh menyembuhkan penyakit. Kegunaannya hanya untuk menambah manis dalam makanan dan minuman tanpa menambah gula dan kalori. Gunakanlah ia berpada-pada. Dan kalau kita tidak sukakannya, tidak perlulah menulis untuk orang lain membencinya juga. Kalau mahu benci sesuatu pun, harus dengan ilmu!
from Root of Science http://ift.tt/2jHIHS7 via IFTTT
Blogger Comment
Facebook Comment