Hidup sebumbung dengan mentua sememangnya memeritkan. Lebih-lebih lagi jika pasangan kita anak emak. Saya baru saja mendirikan rumah tangga dengan suami. Kami tidaklah bercinta terlalu lama. Baru berkenalan dalam setahun dua di Internet lalu bibit percintaan berputik dan akhirnya ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Sepanjang perkenalan, saya tidak pernah tahu yang bakal suami saya ini anak emak. Sebabnya di dalam media sosial dia kelihatan sangat hebat dan seakan tahu bagaimana mahu membuat keputusan setiap kali membaca komen-komen yang dilontarkan.
Memang hubungan kami on off, kadang ok dan pernah juga terputus beberapa bulan. Barangkali jodoh kami panjang, dalam tempoh itu akhirnya cinta kami semakin kuat. Hasil perbincangan kedua orang tua, akhirnya saya di satukan dalam sebuah majlis serba sederhana.
Dia cuma ada tiga orang adik beradik, dua orang kakak dan dia satu-satunya lelaki. Paling bongsu dan lelaki tunggal membuatkan suami saya ini menjadi kesayangan dan harapan keluarga. Sayangnya harapan yang diletakkan pada suami membuatkan dirinya menjadi sebaliknya.
Dialah anak manja dalam keluarga itu. Itu membuatkan suami sukar membuat keputusan dan tak tahu hendak dahulukan siapa selepas berkahwin. Isteri atau ibunya. Ketika ini saya tinggal dengan keluarga mentua kerana itulah permintaan ibu mentua yang tak mahu berpisah dengan anak bongsunya.
Mulanya saya akur, tapi lama-kelamaan seakan tiada privasi antara kami. Ibu terlalu mengambil berat akan hal kami. Sampaikan bila saya menegur anak lelakinya pun saya dimarahi. Bukannya saya menegur hal yang salah. Saya cuma meminta agar dia tidak terlalu melebih-lebihkan ibunya.
Saya faham sebagai anak lelaki, dia perlu bertanggungjawab pada ibunya. Dia perlu bijak membahagikan masa bila mahu bersama tanpa gangguan sesiapa. Lagipun kami baru saja berkahwin, percintaan di alam nyata atau berdating amat jarang dapat kami lakukan. Apa salahnya dia menggunakan masa ini untuk mengeratkan hubungan suami isteri.
Tapi sebaliknya, dia masih lagi bergantung dengan ibunya. Jika hendak membuat keputusan yang mudah untuk diri sendiri pun perlu meminta pandangan ibunya. Misalnya hendak membeli kereta pun kena minta pandangan daripada ibu. Walhal, kami sudah sepakat yang pembiayaannya akan dikongsi berdua. Apabila ibu mendengar hal itu, ibu kurang bersetuju kerana seolah-olah saya mahu mengambil kesempatan ke atas anaknya.
Itu baru satu hal, ada lagi hal lain yang tanpa sedar akan ibu bangkitkan dan ia menggores hati saya. Mungkinlah ibu berniat mahu menegur, tapi tegurannya membuatkan hati saya terluka. Ibu saya pun tak pernah menegur saya semacam itu.
Saya tak nafikan mungkin niat ibu baik mahu menjadikan saya seorang isteri terbaik untuk anaknya. Tapi dia tak boleh memaksa saya mengikut rentaknya. Saya pun ada hati dan perasaan. Saya pun mahu suami menyayangi saya. Tapi kenapa saya dipinggirkan.
Kongsi Masalah
Bukan saya tidak meluahkan apa yang saya rasa kepada suami. Tapi akhirnya suami akan menasihati dan paling besar pernah terjadi, kami akan bermasam muka. Memandangkan saya duduk di rumah mentua, tak dapatlah saya nak luahkan kemarahan sebenar.
Saya banyak menahan diri dan makan hati dengan sikap suami dan mentua. Ada juga saya berkongsi masalah yang dialami dengan kakak ipar sulung, memandangkan dalam keluarga itu dia yang paling memahami masalah yang saya hadapi.
Dia juga banyak meminta saya bersabar dan berjanji akan menasihati adiknya. Tapi nampak gayanya tak juga berubah. Suami saya tetap juga begitu. Mungkin juga disebabkan kakak sulung dan suami saya ini memang tidak sebulu sejak dari awal lagi.
Kata kakak, ibu mentua saya memang sejak dari kecil sentiasa saja memenangkan adik bongsunya. Mungkin disebabkan dirinya satu-satu lelaki di rumah itu, fikir saya. Rupa-rupanya dulu waktu dia mahu dilahirkan adik bongsunya ini pernah bertarung nyawa dengan penyakit.
Tapi semakin dia membesar, penyakitnya itu dapat dipulihkan. Sebab itulah ibu berjanji akan memastikan anak lelakinya sentiasa dalam jagaan. Makan minum suami saya juga masih dikawal dengan ibu. Maknanya, kalau saya mahu masakkan untuk suami perlu rujuk dulu menu yang sesuai untuknya. Walhal suami saya bukannya ada masalah dengan penyakit pun. Dia sudah pulih sepenuhnya.
Kadangkala saya terfikir untuk apa saya berkahwin, adakah untuk menjadi seorang isteri atau mahu menjadi seorang hamba pada suami. Allah beratnya masalah yang saya tanggung ini. Satu persatu ia timbul dan tak pernahnya mahu berkurangan.
Bantulah saya menyelesaikan masalah yang saya alami ini. Apakah jalan terbaik yang perlu saya ambil. Berpisahkah atau bertahan saja dengan perkahwinan yang menyukarkan ini.
from info psikologi http://ift.tt/2nFe9qp via IFTTT
Blogger Comment
Facebook Comment