Ada banyak penemuan dan pengetahuan sains yang tak dapat mengelak dari menjalin sedikit kekeliruan di kalangan masyarakat. Ada yang remeh dan mudah diketepikan, tetapi ada juga yang berakar umbi dengan kukuh hinggakan memberi impak yang besar terhadap manusia sejagat. Di sini kami perjelaskan 10 kekeliruan sains yang kerap kita dengari.
1. Tembok Besar China Boleh Dilihat Dengan Jelas Dari Angkasa
Mitos ini dianggarkan terbit ketika Amerika dan Russia berlumba-lumba untuk menghantar manusia ke angkasa, dan memuncak sekitar pendaratan manusia pertama kali di bulan pada tahun 1969. Masyarakat Malaysia tidak kurang juga menokok tambah bahawa angkasawan Neil Armstrong memeluk Islam kerana terdengar azan dari bulan! Apa-apa pun, mari kita lihat isu ini lebih lanjut.
Pertama sekali, ada banyak objek yang dapat dilihat dari angkasa (sekitar orbit bumi) dengan mata kasar. Tetapi, lebar Tembok Besar China hanyalah 5-6 meter sahaja. Sama dengan lebarnya dengan sebuah rumah teres di Malaysia. Jadi kalau Tembok Besar China dikatakan boleh dilihat dari angkasa, sudah tentu binaan-binaan lain sekitar 60-70an seperti Masjid Negara, Bangunan Parlimen dan pelbagai bangunan lain yang lebih lebar dari itu juga boleh dilihat dari angkasa, bukan? Jadi apa yang nak dikecohkan?
Hakikatnya, binaan-binaan ini amat kecil berbanding saiz bumi. Bumi berdiameter lebih kurang 12,750km, sedangkan Tembok Besar China hanya 0.006km. Daari orbit, ia bagaikan anda hendak mencari sehelai rambut dari jarak 2km!
2. Vaksin Menyebabkan Autisme
Ini semua kerja Andrew Wakefield. Pada tahun 1998, The Lancet, sebuah jurnal perubatan, telah menerbitkan hasil kajian Andrew Wakefield yang mengaitkan autisme dengan vaksin kombinasi measles, mumps dan rubella (MMR). Ia telah mendapat perhatian dari masyarakat kerana hebahan media yang hebat pada ketika itu.
Namun begitu, siasatan lanjutan mendapati Wakefield mempunyai pelbagai percanggahan kepentingan yang tidak diisytiharkan; memanipulasi data dan pembuktian; serta melakukan beberapa perkara tidak beretika yang lain. Pada tahun 2004 The Lancet telah menarik balik beberapa bahagian dalam penerbitan itu. Seterusnya pada tahun 2010, menarik balik seratus peratus penulisan Andrew Wakefield kerana didapati membohongi pelbagai aspek kajian beliau.
Kertas Kajian Andrew Wakefield ditarik balik oleh The Lancet (2010)
Sungguhpun Andrew Wakefield telah dibuktikan sebagai penipu, beliau telah berjaya meraih sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk masyarakat antarabangsa hinggalah ke Malaysia. Hakikatnya, kajian beliau tidak berasas dan palsu, sehinggakan Flaherty (2011) menggelarkannya sebagai penipuan perubatan paling dahsyat sejak seabad lalu. Jadi sudahlah kak, pergi vaksinkan anak tu cepat! Boleh baca di sini lebih lanjut.3. Semasa Kecil, Einstein Gagal Dalam Pelajaran
Inilah yang selalu digunakan oleh ibubapa untuk menyedapkan hati anak-anak yang sukar menguasai pembelajaran di sekolah. Mungkin harapan mereka adalah untuk menginspirasikan anak mereka agar terus berusaha seperti Einstein di kemudian hari. Tapi tolonglah, jangan biar anak anda membesar percaya kepada mitos sebegitu.
Einstein 1921 oleh F. Schmutzer
Sebenarnya Einstein pernah gagal ujian kemasukan sekolah terpilih. Beliau gagal dalam matapelajaran sejarah, bahasa, geografi dan sebagainya, tetapi cemerlang dalam subjek sains dan matematik! Yang pasti, Einstein telah menguasai Pembezaan (Differentiation) dan Kalkulus sebelum umur 15 tahun! Maknanya bukanlah Einstein bengap masa muda, genius ketika tua. Sebenarnya, setiap manusia ada matapelajaran yang dia suka, ada yang tak. Anak-anak kita pun sama juga!4. Manusia Zaman Pertengahan Percaya Bumi Itu Rata
Tapi memang pun, kan? Sebenarnya tidak. Golongan bijak pandai di Zaman Pertengahan (kurun ke-5 hingga ke-15) sebenarnya sudah mempercayai dan membuktikan bahawa bumi itu bulat. Idea bumi bulat pertama kali dikesan dalam falsafah Yunani oleh Pythagoras (kurun ke-6 sebelum Masehi). Kemudian Aristotle memberikan landasan bukti empirikal bagi menyokong idea bumi bulat sekitar 330 tahun sebelum Masehi. Jadi ini membuktikan bahawa teori bumi bulat sudahpun bertapak sejak dahulu lagi.
Fahaman bumi rata adalah mitos moden yang mulai berkembang sekitar 1800, pada ketika yang sama teori evolusi yang diketengahkan oleh Charles Darwin berkembang pesat. Di sini telah berlaku satu pertelagahan besar di antara sains dan agama, di mana proponen agama menegaskan kata-kata dari kitab yang ditafsirkan bercanggah dengan aliran sains pada ketika itu. Salah satu hujah mereka adalah percaya bahawa bumi itu bulat!
5. Kalau Suka Meletup Sendi (cracking) Nanti Akan Kena Athritis Bila Dah Tua
Orang tua kita mungkin dah banyak kali pesan, meletupkan sendi (jari, tangan, kaki dsbnya) boleh mengakibatkan sakit tulang dan sendi (kini dikenali sebagai athritis) bila dah tua nanti. Nasihat ini tidak terhad di dalam masyarakat Melayu sahaja, tetapi juga banyak disebut dan diturunkan dalam masyarakat Barat.
Hakikatnya, penemuan pada tahun 2011 menunjukkan bahawa athritis diakibatkan pelbagai faktor atau kombinasi faktor seperti obesiti, umur, genetik dan kemalangan. Yang pasti, habit “buruk” meletupkan sendiri jari tidak ada korelasi terhadap terjadinya athritis di kemudian hari. Cuma jangan buat banyak sangat di khalayak awam. Ramai yang menyampah sebenarnya. deWeber, Olszewski dan Ortolano (2011)
6. Manusia Dan Dinosaur Pernah Hidup Sezaman
Banyak cerita-cerita fiksyen cuba menggambarkan manusia purba pernah hidup bersama-sama dengan dinosaur besar seperti T-Rex, Brontosaurus dan sebagainya. Tolak ke tepi cerita yang melibatkan kejuruteraan genetik yang futuristik atau pengembaraan masa dahulu.
Hakikatnya, manusia dan dinosaur tidak hidup dalam satu zaman. Dinosaur terakhir pupus 63 juta tahun sebelum manusia mula berkembang membina tamadun di muka bumi ini. Yang tinggal hanyalah haiwan pra-sejarah yang berkongsi keturunan dengan dinosaur sahaja.
7. Rawat Lebam Dengan Tuam Panas
Mereka yang banyak bersukan dan melakukan aktiviti lasak akan kerap mengalami lebam. Ia berlaku apabila saluran darah pada bahagian yang terhentak pecah atau bocor. Ini menyebabkan darah mengalir keluar dan berkumpul dalam tisu yang terlibat.
Apabila dituam dengan objek panas seperti anak lesung yang dipanaskan atau nasi mampat yang dibungkus di dalam kain, ia akan menyebabkan saluran darah mengembang dan seterusnya menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke kawasan tersebut lantas memburukkan lagi keadaan! Baca ulasan lanjut di sini!
8. Tiada Graviti Di Angkasa
Cuba fikir sekejap. Kalau tiada graviti di angkasa, kenapa pula bulan mengorbit bumi? Bukankah bulan di bawah pengaruh graviti bumi? Kalau betul, kenapa pula satelit dan stesen angkasa yang jaraknya lebih dekat berbanding bulan elok sahaja tak jatuh ke bumi? Macamana pula dengan planet-planet lain seperti Musytari atau Zuhal?
Sebenarnya angkasawan dan segala objek di dalam orbit terapung-apung di angkasa tidaklah tanpa graviti. Objek-objek ini masih di bawah pengaruh graviti bumi, dan sebenarnya sedang jatuh perlahan-lahan ke arah bumi. Bezanya, pada masa yang sama ia juga bergerak secara horizontal dengan permukaan bumi dengan laju. Ini menyebabkan jatuhannya amat perlahan dan dapat dikawal dengan meningkatkan kelajuan horizontal.
Di dalam stesen angkasa pula, para angkasawan terapung-apung kerana mereka juga sedang jatuh ke bumi dengan velositi yang sama dengan stesen angkasa itu. Ini menimbulkan suasana terawang-awangan, yang kerap kali digelar di dalam sains popular sebagai tiada graviti (sifar graviti).
Angkasawan Komander Hadfield di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)
Ada yang beranggapan jika terperangkap di dalam ribut dan kita terlihat kilat menyambar sebatang pokok, maka pokok itu adalah tempat yang selamat untuk berteduh kerana kilat tidak akan menyambarnya sekali lagi. Jangan main-main. Sebenarnya ini adalah kekeliruan yang tidak berasas. Hakikatnya, kilat direkodkan pernah menyambar tempat yang sama berulang kali. Bangunan Empire State di New York pernah disambar kilat 9 kali dalam masa 20 minit!
Jadi kalau dah nampak kilat sabung-menyabung, tak payahlah nak agak-agak berlindung di tempat yang baru sahaja disambarnya. Carilah perlindungan yang lebih selamat!
10. Makanan Rendah-Lemak Baik Untuk Anda
Pengambilan makanan rendah-lemak memang kerap kali dikaitkan dengan pemakanan sihat. Namun tahukah anda, apabila kandungan lemak di dalam sesuatu makanan yang diproses itu dikurangkan, ia juga akan mengurangkan rasa pada makanan itu? Maka oleh itu, pengusaha makanan rendah-lemak kerap kali menambah gula pada kadar yang tinggi bagi mengimbangi rasa sedap yang hilang apabila kandungan lemak direndahkan!
Antara lemak semulajadi dan gula, para nutritionist pasti akan menasihati agar mengelakkan gula kerana ia sememangnya akan mengundang akibat yang lebih buruk dari lemak semulajadi. Jadi tak semestinya semua makanan rendah-lemak itu baik untuk anda!
from Root of Science
Blogger Comment
Facebook Comment