loading...

Cerita Sebenar Rusuhan Kaum TAMAN MEDAN Pada 2001 Yang Membuat Semua Rakyat Malaysia Takut ..

Cerita Sebenar Rusuhan Kaum TAMAN MEDAN Pada 2001 Yang Membuat Semua Rakyat Malaysia Takut ..



Korang mesti selalu dengar tentang peristiwa berdarah 13 Mei 1969 kan. Pada masa itu Malaysia telah mengalami rusuhan kaum yang paling buruk dalam sejarah negara. Selain daripada peristiwa 13 Mei, ada juga peristiwa Hartal Pulau Pinang 1967 dan juga beberapa rusuhan kaum lain yang semuanya membawa kepada pembentukan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970.
Sumber giboyfuriousstar.blogspot
Tapi 30 tahun selepas pembentukan Rukun Negara, berlaku lagi satu rusuhan kaum di Taman Medan, Petaling Jaya pada tahun 2001. Jadi hari ni SOSCILI nak ceritakan sikit tentang kisah ini agar kita sama-sama dapat ambil ikhtibar.

Masyarakat yang dipinggirkan dan gejala sosial yang berlarutan

Kepada yang tak tahu, Petaling Jaya ini boleh dianggap sebagai bandar satelit bagi Kuala Lumpur manakala Taman Medan pula merupakan sebuah perkampungan di tengah-tengah pusat bandar ini tadi.
Penempatanya pula terdiri daripada deretan rumah setinggan yang didiami oleh 70% bangsa Melayu, 20% kaum India dan 10% pula bagi orang-orang Cina.
Di sekitar Taman Medan terdapat beberapa kawasan perkampungan dengan demografi penduduk yang berbeza di mana Kampung Medan, Kampung Lindungan Jaya dan Taman Dato Harun dengan majoriti Melayu dan Kampung Ghandi dengan majoriti masyarakat india menetap di situ.
Walaupun penduduk kat sana bebilang kaum, dorang tetap harmoni sebenarnya sehinggalah pada 8 Mac 2001 di mana kekecohan mula tercetus. Pada mulanya, pergaduhan ini hanya melibatkan sebilangan kecil je orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Tetapi dengan pantas ianya telah merebak menjadi pergolakan kaum selama 3 minggu.
Gambar dari pcbolong.blogspot.my
Keadaan sosio-ekonomi kat kawasan tu pun tidaklah berapa ok sebenarnya. Untuk pengetahuan korang, Taman Medan pada masa tersebut boleh dianggap sebagai sebuah penempatan masyarakat miskin bandar yang sangat terpinggir.
Kat sini masalah sosial mula timbul seperti pengangguran, kemiskinan, kesihatan, perumahan, persekolahan, kebersihan, pengedaran dadah dan kegiatan samseng juga sangat meluas kat situ.

Panggil geng untuk buat kecoh sehingga rusuhan merebak

Dari apa yang kami jumpa, pergaduhan ini bermula daripada majlis perkahwinan masyarakat Melayu dan majlis kematian penganut Hindu yang diadakan di kawasan berdekatan.




Ketika masyarakat Melayu tengah siap-siapkan majlis tu, seorang lelaki berbangsa India dikatakan membawa motosikal dalam keadaan mabuk dan terbabas merempuh tapak perkahwinan yang dorang dah siapkan tadi.
Lepas dah langar tu memang kena marahlah kan, tetapi lelaki ini tadi tak boleh terima dan mungkin sebab keadaanya yang mabuk telah membawa kepada pergelutan. Tidak cukup dengan itu, akhirnya dia panggil geng dia datang dan menyerang majlis perkahwinan Melayu tersebut.
Pada awalnya orang ramai sangkakan hanya pergaduhan biasa berpunca dari rasa tidak puas hati antara dua pihak, tapi keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan menjadikan kawasan sekitar Taman Medan riuh-rendah dengan rusuhan.
Sumber dari himpunanceritalawak.com
Masa kejadian ini memuncak, terdapat banyak insiden di mana penduduk kaum Melayu dan India kena serang secara rambang di sepanjang jalan utama sekitar Taman Desaria, Kampung Medan, Kampung Datuk Harun dan Kampung Lindungan.
Boleh dikatakan dengan keadaan yang agak huru-hara pada masa itu telah menyebabkan penduduk berada dalam keadaan ketakutan terutama pada waktu malam. Keharmonian kaum pun agak terjejas apabila dorang saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
Masyarakat India berwaspada dan bersiap-sedia sekiranya samseng Melayu datang menyerang mereka. Sebaliknya masyarakat Melayu di Kampung Medan sentiasa berkawal kalau-kalau samseng India dibawa masuk untuk menyerang dorang.
Sumber dari blogmazeer.com
Hal ini berterusan sampaikan Menteri Besar Selangor pada masa itu telah datang berkawal di kuil Hindu Kampung Medan untuk mengelakan masyarakat daripada terus berbalah. Malahan beliau sendiri menasihati penduduk Melayu yang marah agar mereka mematuhi undang-undang negara.

Apa nasib jiran-jiran dorang yang berlainan bangsa

Walaupun pada mulanya rusuhan ini melibatkan masyarakat di kawasan tersebut, tetapi ianya telah berlarutan sehinggakan orang luar yang tak terlibat pun join sekali. Dari apa yang kami jumpa, kebanyakan serangan dan pergaduhan berlaku sebenarnya melibatkan orang luar.
Kalau korang nak tahu, orang yang serang dorang bukanlah penduduk Taman Medan, tetapi geng-geng dari luar yang datang buat kecoh. Menurut kajian S Nagarajan berasaskan wawancara dengan penduduk kampung dan mangsa membuktikan “pengganas-pengganas” bukanlah dari kawasan dorang.
Walaupun pada masa itu jiran dorang berlainan bangsa, tapi dorang tidaklah diapa-apakan. Sumber dari nurdaniub.blogspot
Mangsa-mangsa yang ditemubual berkata bahawa dorang diserang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang dari tempat kerja dan ketika keluar untuk membeli barang. Menurut mangsa lagi, penyerang dorang biasanya bersenjata dan bergerak dengan motosikal atau kereta di kawasan itu dan dorang bukanlah penduduk kampung sebab mereka dah memang kenal dengan jiran-jiran.

2,053 orang Polis, FRU dan Pasukan Khas meredakan keadaan

Ops Medan dengan kekuatan 2,053 orang telah dilancarkan oleh pihak polis bagi mengawal keadaan. Sumber dari Utusan Malaysia
Dalam masa kelam kabut ini juga, pihak polis telah melancarkan “Ops Medan” dengan kekuatan 2,053 orang bagi mengawal keadaan. Dorang pula terdiri daripada anggota polis, Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Rela dan pasukan bantuan kecemasan dengan dua buah helikopter. Pasukan khas juga ditubuhkan bagi mengiringi penduduk yang berulang-alik pergi bekerja atau yang nak hantar anak dorang ke sekolah.
Peristiwa hitam ini hanya berakhir pada 28 Mac 2001 dengan 158 orang ditahan atas kesalahan-kesalahan memiliki senjata, merusuh, menyerang dan menyebabkan kecederaan serius.
Dorang terdiri daripada 95 orang lelaki Melayu, 56 orang India dan 2 warga Indonesia. Berdasarkan rekod di Pusat Perubatan Universiti Malaya pula, seramai 29 orang menjadi mangsa peristiwa berkenaan.
Antara mereka yang tercedera adalah 22 orang India, tiga orang Melayu, seorang Cina, seorang rakyat Indonesia, seorang rakyat Bangladesh dan seorang rakyat Pakistan. Peristiwa hitam ini turut meragut enam nyawa terdiri daripada lima orang berbangsa India dan seorang warga Indonesia.
Sumber dari blogmazeer.com
Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Datuk Mohamad Jamil Johari telah memaklumkan bahawa banyak senjata-senjata berbahaya telah dirampas, termasuklah bom buatan sendiri, parang, pisau, pedang samurai, kayu lastik, rantai, paip besi, cota dan kapak. Bukan takat itu je, motosikal dan lori pun telah dibakar semasa rusuhan berlaku.
Sejurus selepas kejadian, kebanyakan masyarakat mahupun di pihak kerajaan beranggapan bahawa pergeseran antara kaum di situ adalah berpunca daripada keadaan penduduk yang terdesak dengan kehidupan dan masih tinggal di kawasan setinggan.
Bagi mengatasi masalah ini, Taman Medan telah ditransformasikan kepada persekitaran yang lebih baik di mana Jalan raya telah ditar, telefon awam dan lampu jalan dipasang, manakala longkang-longkang di situ turut dibersihkan. Kini tiada lagi kawasan setinggan seperti tahun 2000 dahulu apabila ianya telah digantikan dengan deretan rumah flat kos rendah.

Di sebalik pergelutan yang berdarah, masih ada nilai kemanusiaan

Sebelum pergelutan ini, penduduk Melayu dan India sebenarnya dah lama duduk bersama di Taman Medan dan dorang pun mempunyai hubungan yang baik dan saling mengenali antara satu sama lain.
Malah Nagarajan juga mendapati penduduk Melayu di Kampung Datuk Harun dan Kampung Ketapang banyak membantu penduduk India untuk membeli barang di kedai runcit di kawasan tersebut ketika pergolakan berlaku. Malah penduduk Melayu di Kampung Penaga sanggup mengiringi orang India ke kedai apabila dorang nak beli barang.
Ternyatalah walapun ada segelintir yang mengambil kesempatan untuk menyemarakkan api perkauman di tengah-tengah peristiwa ini, ada ramai lagi yang bersifat kemanusiaan dan membantu satu sama lain tanpa mengira warna kulit.
Sekarang keadaan dan persekitaran di Taman Medan sudah berubah dan bertambah maju. Sumber dari themalaymailonline.com
Hasil daripada pelbagai usaha kerajaan Negeri Selangor untuk memajukan Taman Medan, termasuklah program setinggan sifar, dorang berjaya menurunkan kadar setinggan di Selangor sebanyak 97%! Ini kerana pihak berkuasa sedar yang kebanyakan perselisihan etnik bermula daripada kemiskinan, di mana mana-mana etnik merasakan yang periuk nasi mereka terancaman oleh ‘orang luar’. Kita boleh lihat sendiri rusuhan-ruhan kaum yang lain untuk dijadikan iktibar.
Semoga kita sebagai rakyat akan sentiasa berusaha untuk bergaul dan memahami jiran masing-masing, kerana daripada belas ikhsan itulah wujudnya perpaduan. Moga perkara ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

sumber: soscili


Share on Google Plus

About Gedebak

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment
loading...
loading...
loading...
KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close