KUALA LUMPUR 6 Nov – Biarpun berhadapan dengan kesukaran bagi mendapatkan bekalan minyak masak ketika ini, pengguna diingatkan supaya tidak menggunakan minyak masak berulang kali kerana ia boleh meningkatkan risiko sakit jantung.
Menurut pensyarah Program Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Ruzita Abd Talib berkata minyak masak tidak sepatutnya digunakan untuk menggoreng lebih dari sekali.
Beliau berkata minyak masak akan bertukar menjadi lemak tepu apabila digunakan berulang kali yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan terutama menyebabkan saluran darah menjadi sempit.
“Apabila saluran darah tersumbat, maka besar kemungkinan seseorang individu itu akan menghadapi serangan jantung, lebih-lebih lagi kepada mereka yang jarang melakukan aktiviti fizikal.
“Oleh yang demikian, orang ramai digesa untuk menggunakan minyak dalam kuantiti yang sedikit, dan seelok-eloknya dengan menukar kaedah masakan daripada menggoreng kepada kukus dan panggang yang dilihat lebih menyihatkan,” katanya sebagaimana lapor Utusan Online.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Sukan, Universiti Malaya (UM), Dr. Sareena Hanim Hamzah berkata, penggunaan minyak lebih dari sekali untuk menggoreng akan menjejaskan kualiti minyak masak.
“Orang ramai dinasihatkan menukar cara memasak dengan segera, selain bagus untuk kesihatan, langkah itu juga mampu mengelakkan daripada diserang sebarang penyakit kronik yang berpunca daripada makanan berminyak.
“Kaedah tersebut memang sedia ada dalam panduan pemakanan yang sihat dan mungkin inilah masa untuk kita mengamalkan pemakanan yang sihat,” jelasnya.
Sumber: Utusan Online
Blogger Comment
Facebook Comment