SHAH ALAM - Di kala kanak-kanak sebayanya menikmati cuti sekolah dengan berehat dan makan angin bersama keluarga, Siti Sirna Mohd Rashid, 9, perlu bangun seawal jam 3 pagi untuk membantu jiran yang berniaga kuih demi mendapatkan upah sebanyak RM5.
Itu semua dilakukan bagi meringankan bebanan ibunya, Rohana Md Isa, 46, selepas mereka sekeluarga hilang tempat bergantung, lapor Harian Metro.
Bapanya, Mohd Rashid Sharuddin, telah meninggal dunia pada tahun 2012, setelah mayatnya ditemui terapung di lombong di Puchong, selepas tiga hari tidak pulang ke rumah. Malah, sehingga kini Rohana tidak mampu membayar kos bedah siasatan RM800 pada ketika itu bagi mengetahui punca kematian suaminya itu.
Siti Sirna bagaimanapun berkata, dia tidak kisah bersusah payah demi ibunya.
"Sehari (sepanjang cuti sekolah) dapat RM5 upah bantu jiran kupas kentang dan cuci peralatan memasak. Duit ini bolehlah bantu ibu dan keluarga," katanya.
Siti Sirna merupakan anak bongsu dari lima beradik mengakui bahawa dia amat merindui arwah bapanya.
"Paling seronok kalau abah ada dulu, dia bawa kami jalan-jalan. Sekarang lain, kalau abang cuti, dia bawa saya jalan pergi Dataran Merdeka," katanya kepada wartawan Harian Metro di kediamannya di Pangsapuri Seri Keyan, Taman Pinggiran USJ, semalam.
Rohan berkata, pemergian arwah suaminya itu memberi kesan yang amat mendalam pada kehidupan mereka.
"Empat tahun lalu, suami saya yang bekerja sebagai pemandu teksi tidak pulang ke rumah selama tiga hari. Kami sekeluarga cuba mencarinya tetapi gagal. Kejadian itu berlaku sehari sebelum Ramadan, kami sekeluarga menonton televisyen untuk menunggu pengumuman puasa.
"Tetapi lain yang kami dapat kerana apabila menonton berita, nampak tubuh suami diangkat oleh anggota polis. Selepas mendengar berita itu, saya dapat panggilan daripada polis untuk datang ke hospital buat pengecaman mayat.
"Kami pergi ke Hospital Kuala Lumpur untuk pengecaman, sedih hati melihat itu mayat suami. Sehingga kini kami masih tidak tahu hasil bedah siasat kerana tidak mampu mambayar RM800 untuk kos tersebut," katanya.
Rohana redha dengan pemergian suaminya dan kini dia hanya bergantung harap pada lima anaknya yang berusia 9 hingga 21 tahun selain mengharapkan bantuan wang zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Saya tidak dapat bekerja kerana menjaga anak dan risau dengan keselamatan mereka. Semasa saya baru berpindah di rumah yang saya sewa RM124 sebulan ini, ada individu yang pernah membawa anak saya pergi mengemis di Subang. Mujur ada jiran yang bawa dia balik," katanya.
Kepada sesiapa yang ingin membantu, bolehlah salurkan bantuan ke akan Maybank puan Rohana Md Isa 102054584535.
Kredit - The Reporter
Kredit - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment