Kadang kala boleh hilang sabar kalau berhadapan dengan kerenah anak yang tidak mahu mendengar kata. Sikap anak yang degil atau tidak mahu menurut kata ini memang boleh membuatkan anda pening kepala melayannya. Perasaan geram dan marah memang akan ada pada setiap ibu bapa yang melaluinya.
Namun, ibu bapa mestilah banyak bersabar kerana sikap degil ini dikatakan berlaku pada semua kanak-kanak dan ia sebenarnya adalah satu perkara yang normal pada peringkat usia mereka.
Pada enam tahun pertama usia kanak-kanak, mereka masih dalam peringkat di mana akan bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh orang dewasa tetapi jika tidak bersetuju mereka akan memberontak dengan cara tidak menurut kata. Salah satu punca membuatkan kanak-kanak berani membantah ialah faktor persekitaran. Mereka mudah meniru apa yang dilihat dan diperhatikan termasuk sikap ahli keluarga di rumah, menonton televisyen dan sebagainya.
Akibatnya mereka berani membantah dan jika tiada bangkangan daripada ibu bapa, maka mereka berhadapan cara tersebut betul. Ibu bapa perlulah memikirkan cara terbaik menghadapi kerenah anak-anak seperti ini supaya ia tidak berlarutan menjadi sikap buruk di kemudian hari.
Perlu diingat, kadang kala anak berkelakuan begitu kerana inginkan perhatian daripada ibu bapa. Mungkin kesibukan anda membuatkan anak rasa dirinya tersisih dan seterusnya cuba memberontak dengan cara tidak mendengar arahan atau kata-kata ibu bapa.
Jadi cara terbaik untuk membuatkan anak anda mendengar kata serta tidak melawan seterusnya mengelakkan anda melabelnya sebagai 'anak degil',iaitu dengan membuatkan anak merasa dirinya penting dan dihargai.
Tip ini juga boleh anda lakukan sebagai cara menanangi masalah tersebut.
1.Libatkan si manja
Dengan mengajak anak ikut serta menyiapkan meja makan atau memasak makanan kegemaran mereka, merupakan saat yang paling menyeronokkan dan yang tidak boleh dilupakan oleh anak-anak.
2.Buat kejutan
Sekali-sekali, buatkan kejutan dengan membelikan baju baru untuknya. Lebih-lebih lagi corak pada baju itu watak kartun kegemarannya.
3.Ceria masa makan
Wujudkan suasana ceria pada waktu makan (siang atau malam). Ia lebih menarik dengan hidangan yang digemarinya. Hias hidangan dengan menarik. Pasti membuatkan si kecil berselera untuk makan.
4.Bergembira di rumah
Suasana rumah akan riang apabila terdengar suara anak-anak ketawa. Ikut bermain dan ketawa bersama akan mengeratkan hubungan anda dan anak.
5. Menjadi pendengar yang baik
Bila anak bercakap, dengarkan mereka dengan penuh perhatian. Jangan mempersendakan apa yang diperkatakan oleh mereka. Hal ini akan membuat anak merasa gembira.
6. Bermain bersama
Kegemaran anak ialah bermain. Jadi apa salahnya sekali-sekala menjadi ‘anak kecil’. Menemankan anak bermain membuatkan dirinya berasa dihargai.
Membesarkan anak memang banyak cabaran dan dugaannya. Ibu bapa sendiri perlu menjadi kreatif untuk mendidik mereka menjadi insan yang positif dan mendengar kata. Jangan mudah melabel anak dengan perkara yang negatif.
Blogger Comment
Facebook Comment