Oleh Dayang Nurfhaziana Rosli (dengan keizinan beliau)
Salam Maghrib. Nak kongsi satu cerita tentang pengalaman sepanjang berjaga di Masjid Jamek tadi. Macam-macam cerita yang ada tetapi cuma satu cerita ini saja yang menarik perhatian.
Bagi yang bukan Islam atau siapa-siapa sahaja yang tidak berpakaian menutup aurat akan disuruh memakai jubah yang disediakan dan apa-apa sahaja yang boleh melindungi kepala bagi menghormati mereka yang berada di dalam rumah Allah.
Jadi, saya dan beberapa orang rakan sebagai orang yang berada di pintu hadapan sewajarnya memaklumkan perkara ini kepada mereka yang berkenaan.
Jubah adalah terhad dan tidak semua orang yang membawa tudung, scarf atau apa-apa saja yang boleh menutup kepala atau rambut.
Apa reaksi mereka yang bukan Islam? Mereka akan balik dan marah-marah? TIDAK! Mereka sanggup menunggu giliran untuk memakai jubah dan mencari tudung untuk menutup kepala semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
Ada seorang wanita (orang kenamaan), saya maklumkan kepadanya bahawa dia perlu memakai scarf atau apa-apa sahaja untuk menutup kepala/rambutnya. Dia kemudian menjawab, it's okay dan dia faham sebelum menghilangkan diri.
Seketika kemudian wanita itu kembali lagi dan berjumpa dengan saya.
"Cantik tak saya?" soalnya.
"Cantik puan," balas saya.
"Saya rela demi Tok Nan," katanya membuatkan saya terus terkedu dan terharu.
Dan semua yang sanggup menunggu, sanggup memakai jubah, tudung dan kain untuk menutup aurat semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.
Bukan Melayu sahaja, Iban, Cina, semua jenis bangsa datang termasuklah Bangladesh. Semua datang dengan muka hiba dan sedih, tanda sayang dan bersedih dengan pemergian arwah.
Itulah keunikan negeri Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang berhati mulia dan sayangkan rakyat.
Gambar di atas adalah seorang lelaki Cina yang sedang menangis. Nampak sangat yang dia sangat bersedih dengan pemergian arwah. Mungkin ada kenangannya bersama dengan arwah yang mungkin tidak dapat dilupakan atau memang dia bersedih dengan pemergian arwah walaupun tidak pernah bersemuka dengan arwah seperti kita semua. - The Reporter
from The Reporter http://ift.tt/2jbae2j via IFTTT
Blogger Comment
Facebook Comment