Jurang yang melebar di antara suami isteri salah satunya disebabkan oleh tiada masa bersama untuk bermesra. Asyik masing-masing pegang telefon canggih, berada di dunia berlainan walaupun duduk berdua mengeteh bersama.
Paling teruk lagi jika sehari tak sepatah pun percakapan dilafazkan suami selain kata-kata suruhan, tolong tutup pintu rumah, hidang makanan, mana baju kerja saya, nak tidur saya letih tolong tutup lampu.
Sama halnya dengan perangai isteri, muka menghadap suami bukan main serius macam nak menghadap tuan hakim di kandang pesalah jenayah.
Kalau ditanya tak jawab panjang, serba singkat saja perkataannya: oh, ok, kejap, bye, pergi dulu, dengan gaya yang bukan main sibuk kononnya mengejar masa. Tetapi melayan kawan macam raja, kalau suami tak ada sempat juga bergurau dengan bekas teman sekolah dalam pelbagai aplikasi internet.
Di rumah pula jadi batu, tak gerak bila tak disuruh, tak ada kehangatan dalam komunikasi, semua kaku dan lesu. Rumah menjadi tempat bertemunya orang-orang bisu, yang keletihan pulang daripada aktiviti mencabar sepanjang hari.
Sampai bila suasana sunyi sebegini dibiarkan? Untuk apa kita berkahwin, begitukah cara membina keluarga yang menenteramkan jiwa?
Bagaimana mungkin anak-anak kita yang remaja mendapatkan keperluan asasinya iaitu sentuhan emosi, jiwa dan naluri bersama ayah dan ibu? Jika ayahnya tak bercakap kecuali menegur kasar dan ibunya tak pandai mengambil hati? Wajarlah jika mereka lari mencari kasih sayang dalam dunia maya, pergaulan bebas dan jenayah kriminal akhirnya menjadi terminal pilihan.
Menjaga kualiti masa suami isteri amat penting kerana ia punca bercambahnya cinta dalam keluarga. Isteri seharusnya mendapat tempat pertama dalam carta orang-orang yang penting dalam kehidupan suami, bukan teman-teman satu geng basikal, politik, bola atau kaki pancing. Isteri wajar merasa cemburu, jika suami melebihkan kawan dari dirinya, sedangkan masa mereka amat terhad. Bila tak sanggup habiskan masa bersembang dengan isteri tak kan tidak boleh makan satu meja sebentar saja di hujung minggu? Di antara cara menjaga masa yang berkualiti di rumah adalah:
1. Hargai masa yang ada
Batas-batas pergaulan menjadi undang-undang dalam rumah yang mesti ditegakkan, sifat suka bergotong-royong membersihkan rumah menjadi amalan pengikat kasih di antara ibu bapa dan anak-anak. Bukankah Rasulullah SAW amat menghargai masa bersama keluarga baginda SAW? Aisyah pernah ditanya: Apakah yang dilakukan Rasulullah di rumah? Aisyah menjawab: Baginda ikut membantu melakukan kerja-kerja rumah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kemudian menetapkan wajibnya bersembang dengan lafaz-lafaz lembut sebagai hak bersama yang harus dikongsi dalam pergaulan keluarga. Bukankah kelembutan dan hangatnya perbualan itu tanda bahagianya sebuah keluarga? Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang dijauhkan daripada sifat lemah lembut, maka dia dijauhkan daripada kebaikan (Hadis riwayat Imam Muslim)
2. Kena wujudkan zon bebas telefon
Pukul berapa perintah dibekukan zon bebas telefon di rumah agar suami memandang isteri dengan penuh minat bukan hanya memandang skrin telefonnya. Agar suami lebih mementingkan menyentuh isterinya dari menyentuh remote televisyen berbayar.
Bagaimana memancing minat suami mahu bersembang mesra, bagaimana cara melayan anak remaja yang mahukan ibu ayahnya sebagai kawan di rumah, bagaimana bertukar idea dan cerita rutin harian di pejabat dan sekolah jika mereka tidak dibebaskan dari cengkaman jajahan telefon canggih dengan pelbagai aplikasi menarik?
Memanglah internet pun penting, tetapi jangan sesekali menjadi korban telefon pintar yang amat merangsang jiwa. Sepanjang hari berkepit dengan telefon sudah banyak merosakkan ibu bapa dan anak-anak, mereka menjadi begitu membazir masa dan sukar menghidupkan masa dalam ketaatan kepada Allah SWT.
3. Fokus keluarga dulu
Rumah seelok-eloknya menjadi tempat terbaik untuk merehatkan jiwa, bukan kerana lantainya yang bersih atau hiburannya yang hebat bahkan kehangatan meraikan kebersamaan itu menjadi punca datangnya rasa intim. Tidak guna melancong ke ceruk dunia yang mahal harganya jika ibu ayah stres sepanjang perjalanan dan anak-anak jadi tumpuan kekasaran.
Elok lagi duduk di rumah yang dihiasi kata-kata manis, sokongan, pujian dan kerjasama menghidupkan suasana ceria.
Bahagia tidak semestinya mahal, cukup sederhana jika ayah mampu berkata lembut dan ibu pemberi motivasi terbaik untuk anak-anak. Tidak mahal untuk memeluk belakang isteri di atas katil dan bertanya kisahnya sepanjang hari di rumah. Tidak mahal menghidangkan makanan yang suami suka sambil bergurau mesra. Tidak mahal mengisi jiwa ahli keluarga dengan ceramah dan mengaji ilmu agama supaya tumbuhlah akar pohon cinta yang diredaiNya.
Kualiti masa amat susah dimiliki terutama bagi suami isteri yang mementingkan kerjaya. Namun demikian isteri tak berkerjaya juga boleh dipengaruhi rasa kosong setiap masa. Betapa perlunya kita membina keberkatan masa di rumah, mengharap keintiman tumbuh bercambah.
Blogger Comment
Facebook Comment