loading...

Selesaikan Konflik Menantu vs Mentua

Perjalanan manusia tidak semuanya sama. Begitu juga dengan dugaan serta kegembiraan yang diterima. Ada masanya bahtera perkahwinan pasti dibadai oleh ombak yang mengganas.

Sekiranya tidak mampu bertahan maka terkapailah penumpang di dalamnya, bertarung nyawa antara hidup dan mati. Dalam hal ini, cabaran adalah satu kemestian yang mesti dihadapi, lebih-

lebih lagi bagi si isteri. Mereka harus belajar dan peka terhadap risiko yang mungkin berlaku hingga menjejaskan hubungan baik dengan mentua.



Bukan mudah untuk menambat hati mereka. Ditambah pula jika kita bukan dari kelompok pilihan hatinya. Oleh kerana itu, kesabaran daripada aspek mental dan fizikal cukup diperlukan

meskipun ramai yang beranggapan bahawa perkahwinan adalah satu momen yang menyeronokkan.  Apabila ditanya, sudah tentulah ramai pasangan yang cuba mengelak diri untuk tinggal

sebumbung dengan mentua. Alasannya mudah sahaja, tiada ‘privacy’ dan payah untuk berdikari. Dalam hal ini, anda tidak sepatutnya menolak bulat-bulat sebaliknya berfikirlah dahulu demi

masa depan keluarga. Pertimbangkanlah kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya.


Benar, tidak semua bernasib baik, dikurniakan mentua yang memahami dan ‘sekepala’. Tetapi ketahuilah bahawa mentua juga wajib dihormati sebagaimana ibu bapa sendiri malah ada

tanggung jawab yang perlu dilaksanakan buat mereka. Masalah tiada kesedaran sebeginilah yang membawa kepada kurangnya rasa hormat hingga mencetuskan pelbagai konflik. Mudah cerita,

mengabaikan mentua seolah-olah kita mengabaikan ibu bapa sendiri.


Jadi bagaimana pula kisahnya jika terpaksa menetap bersama mentua sedangkan suami bertanggung jawab menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk keluarganya? Berikut adalah antara

penyebab yang memungkinkan anda sebumbung dengan mentua :


Masalah Kewangan

Adat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Masalah yang biasa didengar ialah ekonomi belum stabil. Menyedari hal sebegini maka anda (menantu perempuan) haruslah berkorban

untuk menetap bersama mentua. Jangan fikir yang bukan-bukan sedangkan anda belum pernah lagi duduk bersamanya. Ditambah pula rumah mentua yang besar dan luas, jadi buat apa

hendak membazir. Ikutkan sahaja rentaknya dan tidak mustahil, lama kelamaan anda akan berasa selesa.


Tanggung jawab sebagai anak sulung

Suami adalah anak sulung dalam keluarga. Jadi, sudah menjadi tanggung jawabnya untuk menjaga kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi yang telah uzur dan tidak mampu melakukan kerja secara

bersendiri. Sekiranya anda tidak bekerja dan menetap dengan mentua, setidak-tidaknya ada jugalah pahala yang di kumpul dengan menjaga mereka. Lakukan seikhlas yang mungkin biarpun

ada sungutan. Cuba pekakkan telinga dan buat seperti biasa, Insya-Allah, ada ganjarannya.


Menumpang kasih

Cuba kikis pandangan negatif terhadap mentua. Anggaplah mereka darah daging sendiri kerana menghormati dan menjaga mereka dengan baik bererti kita telah berbakti kepada ibu bapa kita.

Sebumbung dengan mentua membuka peluang untuk  kita menumpang kasih mereka. Maklum sahajalah, ibu bapa kandung berada nun jauh di kampung dan untuk pulang setiap hari ke sana

adalah satu perkara yang mustahil. Di tambah pula rumah ibu bapa mentua cukup dekat dengan tempat kerja. Jadi, mengapa ingin menolak lagi?


Alasan di atas memang kukuh untuk tinggal sebumbung dengan mentua tetapi bagaimana pula jika persepsi serta sikap yang ditonjolkan sering menyakitkan hati dan perasaan? Apakah

tindakan mencari rumah lain adalah sesuatu yang wajar dilakukan? Nilaikan dengan alasan-alasan di bawah sebelum membuat apa jua keputusan.


Diperlakukan seperti pembantu rumah

Seorang menantu perlulah ringan tulang melakukan kerja-kerja rumah. Lebih-lebih lagi di rumah mentua tetapi jika kerja-kerjanya tidak ubah seperti ‘bibik’ yang dibayar gaji maka lebih baik

anda dan suami berpindah dan hidup sendiri. Ditambah pula jika anda seorang wanita yang berkerjaya, pasti tak menang tangan di buatnya jika semua kerja terletak di bahu anda.


Sering dibandingkan

Maklumlah, anda bukan menantu pilihan jadi apabila tinggal bersama sudah tentulah ada sahaja salah yang nampak di mata mentua. Mulalah satu demi satu sindiran melekat di telinga

hinggalah ke tahap membandingkan anda dengan menantu-menantunya yang lain. Lazimnya, kekurangan yang sering dibangkitkan ialah dari segi kecantikan, kekayaan, kelulusan akademik

dan macam-macam lagi. Jika anda masih boleh bertahan, ya silakan tetapi sekiranya kesabaran sudah sampai di tahap yang maksima maka lebih baik berbincang dengan suami untuk

berpindah ke rumah lain. Berkemungkinan besar ia lebih baik untuk anda sekeluarga.


Tiada zuriat

Berkahwin sudah bertahun-tahun tetapi tanda-tanda untuk menimang cahaya mata masih belum kelihatan. Kalau setahun dua, mungkin ia perkara biasa tetapi jika masuk tahun kelima, mentua

sudah pasti tertanya-tanya. Lebih parah sekiranya mentua bermulut lepas, suka benar menyalahkan orang lain tanpa menyelidik hujung dan pangkal. Kerana itu, adalah lebih baik sekiranya

anda mencari rumah lain. Hati tidak sakit, perasaan pun tenang. Mana tahu, mungkin ‘rezeki’ anda dan suami ada di situ.


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Tidak akan masuk syurga orang yang derhaka kepada orang tua (ibu bapa), orang yang suka mengungkit-ungkit kebajikan dan orang yang ketagih

minuman keras.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Oleh itu, cubalah kekalkan hubungan yang baik dengan mentua. Ingat, merekalah yang menjaga dan mendidik suami kita hingga menjadi insan yang berjaya. Jadi, tidak salah jika kita berbakti

dan berbuat baik kepada mereka. Terdapat beberapa cara mudah yang boleh dipraktikkan bagi merapatkan hubungan antara mentua dan menantu. Antaranya ialah :


Berbaik sangka dan memaafkan

Dekatkan diri dengan Allah s.w.t. Dalam masa yang sama, kikis segala prasangka buruk terhadap mentua dengan mengalihkan fikiran secara total kepada hal-hal yang membuatkan anda cukup

kagum pada dirinya. Lagipun, setiap manusia tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan jadi saling memaafkan adalah satu jalan yang paling baik untuk dipraktikkan. Buang yang keruh,

ambil yang jernih. Sekiranya sebelum ini anda gemar menyalahkan orang lain maka sekarang cubalah belajar untuk melihat satu masalah itu dari kaca mata yang positif. Contohnya, kita sering

dimomokkan bahawa mentua tidak boleh dibawa tinggal bersama atau mentua suka campur tangan dalam hal rumah tangga hakikatnya bukan semua yang bersikap sebegitu. Persepsi buruk

seperti inilah yang membuatkan para mentua tersinggung dan berkecil hati sedangkan mereka seikhlasnya menerima kehadiran anda sebagai anak menantu.


Cuba belajar perkara baru

Fahamilah bahawa setiap keluarga mempunyai budayanya yang tersendiri. Begitu jugalah dengan mentua dan menantu. Ketidaksamaan latar belakang, cara didikan, karakter dan macam-

macam lagi secara tidak langsung mempengaruhi sikap serta pembawaan watak individu itu sendiri dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Oleh itu, jangan mudah menyalahkan sekiranya

anda tidak selesa dengan teguran atau ‘undang-undang’ yang dipraktikkan oleh mentua. Cubalah sesuaikan diri dan ‘ikut rentak baru’ kerana lama-kelamaan anda pasti menyukainya.


Kongsi ilmu dengan mentua

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan. Disebabkan itu, jangan terlalu memikirkan bahawa anda adalah yang paling baik tanpa melihat keistimewaan orang lain. Mentua

mempunyai banyak ilmu dan pengalaman yang berharga jadi apa salahnya jika anda minta dikongsi bersama. Pasti mereka seronok dan teruja untuk mengajarnya sekali gus membuatkan

hubungan yang terjalin bertambah erat dan mesra. Jangan takut mencuba kerana kita tidak akan tahu jika tidak memulakan langkah pertama. Amalkan sikap berlapang dada dan saling hormat

menghormati demi kesejahteraan bersama.

Baca di website

Share on Google Plus

About Gedebak

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment
loading...
loading...
loading...
KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close