Manusia secara psikologinya mempunyai tiga butang emosi yang dipanggil ego. Sifat ego ini bukanlah sesuatu yang buruk. Jika diri tidak menyedarinya, ia jadi memudaratkan. Apabila sedar kewujudan ego, bertindaklah penuh kesedaran agar ia menjadi alat pemangkin tindakan yang tepat.
Sama ada lelaki mahupun wanita mereka memiliki tiga butang emosi. Pasanganlah yang menentukan, ego siapakah lebih dominan. Apabila sudah mengenali ego pasangan, usah diberikan mereka tekanan. Berilah mengikut kemahuan yang dimahukan.
Paling penting, betulkan niat perkahwinan itu sendiri. Berkahwin itu untuk apa? Ramai yang dilanda derita kerana merasakan perkahwinan itu satu peluang untuk membuktikan kasih sayang ataupun kemampuan dirinya. Sebab itulah perlunya kesedaran, perkahwinan itu bukan sekadar mahu mendapatkan (take) sesuatu tetapi juga perlunya memberi (give).
Seharusnya ada give and take. Jangan asyik menerima atau memberi, perlunya ada keseimbangan. Sebelum mahu memberi kepada pasangan, kenali dahulu butang emosi mereka.
1. Ego mahu berkuasa
Baik lelaki atau wanita mereka ada keegoan untuk berkuasa. Mahu mengatur semua perkara termasuklah berkuasa ke atas pasangannya. Mereka kerap kali marah. Barangkali apa yang mahu diatur tidak dapat dikuasainya. Seandainya pasangan anda jenis begini, penting untuk anda tanyakan pada pasangan. Kenali dia dari hati ke hati. Konflik berpunca daripada sesuatu yang samar, tidak kenali pasangan. Jika ada pencerahan dan memahami mereka, pasangan mudah untuk berdamai.
Berdasarkan pengalaman Diyana dalam program yang dikendalikan, seorang wanita menemuinya dengan penuh kelukaan hati. Suami yang sama-sama susah dengannya mahu berkahwin lain. Sejak berbisnes baru, suami tak lagi berkuasa. Dia rasa tidak berfungsi, jadi dia mencari orang lain untuk berkuasa. Ini kerana suaminya suka mengatur. Selepas sedar akan hal itu, isteri tadi menyerahkan restoran barunya kepada suami. Beberapa bulan selepas itu, suami kembali sibuk dan seronok. Akhirnya suami tadi kembali kepadanya kerana merasakan pasangan keduanya itu pula tidak memahaminya.
2. Ego mahu disukai
Ada pasangan suka dipuji dan disukai. Jika isteri atau suami membangkang ideanya, dia mula rasa tak diambil tahu. Pasangan begini selalu bersedih dan kerap merajuk. Penting untuk menyukainya, memuji dan luahkan perasaan sayang padanya. Contoh pasangan begini adalah dari kalangan mereka yang suka keluar bersama rakan-rakan berlainan jantina. Ini kerana mereka sukakan perhatian. Mereka amat memerlukan suami atau isteri yang fokus padanya, sedari kelebihannya. Jadi selalulah hargai mereka. Berikan kata-kata pujian atau hadiah. Tapi perlulah berpada-pada, jangan sampai berlebihan.
3. Ego mahu selamat
Pasangan jenis ini asyik risau, bimbang takut malah tidak yakin dengan banyak perkara. Begitu berhati-hati dan menjaga kesihatan dan keselamatan dalam rumah tangga. Misalnya sebelum keluar rumah dia akan pastikan rumah sudah dikunci. Dia juga menyediakan simpanan untuk anak-anak. Usah dicabar keegoannya bimbang dia akan lari daripada perkahwinan atau menjadi pasangan yang tiada perasaan. Justeru, yakinkan diri, beri ruang dan tanggungjawab itu padanya.
Carilah suami atau isteri anda bagaimana egonya. Setelah anda mengenali pasangan anda bagaimana, barulah anda boleh memberi mengikut kesesuaiannya. Dalam masa yang sama, anda juga akan mendapat apa yang anda mahukan.
Temu ramah dijalankan dengan Diyana Tahir, penulis, coach & pengasas eHati
Baca di website
Blogger Comment
Facebook Comment