Saat pertumbuhan otak si manja pesat pada usia satu hingga dua tahun. Otak melalui tempoh kritikal mengikut tempoh masa tertentu yang sering dirujuk sebagai windows of opportunity. Dalam bahasa yang mudah ini bermaksud pembelajaran adalah lebih mudah diperoleh (diingati) pada tempoh tertentu.
Bagi yang mempunyai anak berusia satu hingga dua tahun, anda perlu lakukan beberapa asas aktiviti yang merangsang kemampuan otak kanak-kanak. Ikuti pandangan pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, University Malaya Centre for Continuing Education (UMCCED), Dr Surayah Zaidon agar rangsangan dapat dilakukan dengan betul untuk mengenali kemampuan otak anak usia satu hingga dua tahun.
Aktiviti anak berusia satu hingga dua tahun:
1.Berbual dengan anak.
Walaupun kosa kata anak agak terhad, ibu bapa perlu memperdengarkan anak dengan banyak kosa kata. Anak akan menyerap kosa kata tersebut dan menyimpan untuk kegunaan pada masa depan. Juga digalakkan anak untuk memberi tindak balas supaya mereka merasa diri mereka sebahagian daripada perbualan tersebut. Anda boleh lakukan seperti memberi anak sepotong buah mangga, katakan kepadanya, ‘Tengok buah apa ni? Warnanya kuning. Kulitnya licin.” Anda pegang tangan anak biar dia rasa seluruh buah itu. Katakan lagi, “Cuba adik cium (bawa ke hidungnya dan biar dia hidu). Wangi tak? Wangi kan. Ini buah mangga. Nak rasa tak? Cuba rasa. Sedap tak? Sedapkan? Dalam perbualan di atas ada banyak kosa kata yang diperkenalkan. Pembelajaran baharu akan menyebabkan lebih banyak neuron berhubung dan sekiranya diulang-ulang, pengekalan memori akan berlaku.
2.Binaan blok
Anda buat satu binaan menggunakan blok. Kemudian minta anak tiru binaan itu. Selepas itu minta dia buat binaan dan anda tiru binaan tersebut. Lakukan dalam suasana yang menyeronokkan. Kanak-kanak akan berlatih menyelesaikan masalah, kemahiran motor halus dan bahasa.
3.Membaca buku bergambar
Gunakan buku yang mempunyai ilustrasi yang jelas, besar dan menarik. Fokuskan penceritaan kepada ilustrasi tersebut (bukan teks). Ajak anak untuk berfikir mengenai sesuatu kejadian di dalam gambar, contohnya ‘Tengok muka kucing ni. Dia seperti sedih. Kenapa agaknya dia sedih? Jom tengok kenapa dia sedih. Ajari anak fokus kepada bahan bacaan.
4.Main pasir
Melukis di atas pasir dan membuat binaan menggunakan pasir dapat memberi peluang kepada anak untuk mengekspresikan kreativiti dirinya. Ini juga dapat membantu meningkatkan kemahiran motor.
5.Apa dalam cermin?
Kanak-kanak sangat teruja melihat dirinya dalam cermin. Berdiri dengan anak depan cermin. Buat mimik-mimik muka atau aksi-aksi lucu. Minta anak tiru mimik muka atau aksi yang anda buat. Sebaliknya anda boleh juga meniru mimik muka atau aksi yang anak anda buat. Aktiviti ini amat menyeronokkan yang memberikan mood ceria untuk anak anda.
6.Bermain finger paint
Guna finger paint untuk anak melukis menggunakan tangan atau jari jemari. Kanak-kanak masih belum mempunyai kawalan motor (otot) yang baik untuk menggunakan berus lukisan. Dengan menggunakan jari atau tangan mereka sendiri, mereka dapat merasa bahan warna yang digunakan.
Blogger Comment
Facebook Comment