loading...

Perlukah Humidifier di Malaysia?

Siapa pernah pakai humidifier? Pernah diajak untuk membeli satu atas alasan kesihatan? Alat humidifier ini adalah satu alat yang boleh meningkatkan kadar kelembapan di dalam sesebuah bilik. Tapi, Malaysia mempunyai kadar kelembapan 80%, jadi apekejadahnya nak beli benda ni? Mari fahami keperluan alat ini dahulu.

Memang betul, secara puratanya kadar kelembapan di Malaysia adalah pada kadar 80% sepanjang tahun. Apabila kelembapan dalam udara tinggi, ia menyebabkan baju lambat kering (di bawah teduh) dan juga menyebabkan peluh lambat kering. Kita boleh perhatikan mat salleh yang melawat Malaysia selalu mengeluh kepanasan. Ini kerana peluh di kulit mereka lambat tersejat, menyebabkan kesan penyejukkan lambat berlaku. Berbanding di negara-negara empat musim, apabila kelembapan rendah, peluh cepat tersejat dan penyejukkan badan berlaku dengan cekap.
Tadi kita bincangkan perihal kesan kalau kelembapan tinggi. Apabila kelembapan rendah (di bawah 35%), ia menyebabkan kulit kita menjadi kering, gatal dan bersisik. Ia juga boleh memberi kesan kepada sistem pernafasan kita, terutamanya yang mempunyai asma kerana udara kering akan menyebabkan mukosa di dalam kerongkong dan saluran pernafasan mengering. Tekak juga terasa kering dan tidak cukup hidrasi.

Kalau udara Malaysia dah memang lembap, kenapa pulak nak pasang alat humidifier ni di rumah?
Di Malaysia, amat jarang kita mengalami kadar kelembapan yang rendah secara semulajadi, kecuali di kawasan sejuk seperti di kawasan pergunungan dan jauh dari sumber air terbuka. Tetapi, penggunaan pendingin hawa yang meluas samada domestik, komersial, atau di pejabat telah secara tidak langsung mewujudkan poket-poket udara yang berkelembapan rendah di dalam bangunan.
Sebagai contoh, bangunan-bangunan pejabat amat jarang membuka tingkap dan mengharapkan pengudaraan mekanikal (pendingin hawa) semata-mata. Apabila udara luar dikekang dari masuk ke dalam bangunan, penyejukkan yang berterusan sepanjang tahun boleh mewujudkan kawasan berkelembapan rendah di dalam bangunan. Sama juga di hotel-hotel dan juga di rumah-rumah domestik yang banyak menggunakan pendingin hawa.
Dalam situasi-situasi sebegini, udara dalaman boleh menjadi sangat kering dan kita merasa tidak selesa duduk di dalamnya. Secara mudahnya, kita boleh gunakan takungan air terdedah di dalam bilik atau pejabat di dalam mangkuk atau besen. Apabila terdedah kepada udara kering, air yang terdedah itu akan tersejat, meningkatkan kembali kadar kelembapan. Tetapi teknik ini agak tidak cekap (tidak efisien). Bekas air itu juga boleh menyebabkan tumpahan yang tak diingini sekiranya tersadung atau tersepak.
Di sini alat humidifier boleh membantu meningkatkan kelembapan di dalam bilik secara cekap, cepat dan berterusan. Dianggarkan kadar kelembapan yang selesa adalah lebih kurang 50%. Tetapi sekiranya kita jenis yang kerap membuka tingkap untuk pengudaraan semulajadi, kemungkinan besar anda tidak memerlukan alat ini. Mungkin anda memerlukan dehumidifier pula untuk mengawal kadar kelembapan agar tidak terlalu tinggi!
Terdapat pelbagai alat humidifer di luar sana. Berdasarkan perbincangan di atas, anda boleh tentukan samada anda memerlukannya di rumah atau tidak. Untuk meningkatkan kadar kelembapan di dalam rumah, kita hanya perlu membuka tingkap dan membenarkan peredaran udara. Jadi, sebagai nilai tambah, kebanyakkan produk humidifier di luar sana dilengkapi dengan pelbagai fasiliti tambahan bagi melakukan produk mereka. Ada yang dilengkapi hygrometer (alat mengesan kadar kelembapan udara), ada yang mempunyai penyelaras kekuatan semburan dan pemasa, dan ada juga yang dilengkapi dengan perembes bau-bauan sebagai aromaterapi.
Diingatkan di sini agar berhati-hati dengan jurujual yang cuba oversell dan overclaim produk mereka. Betul, kawalan humiditi boleh mengurangkan ketidak-selesaan kulit dan iritasi saluran pernafasan. Tetapi tiada pembuktian saintifik bahawa alat humidifier ini boleh menyembuhkan asma atau sebarang penyakit kulit. Jadi janganlah cepat terpengaruh dengan kata-kata indah jurujual perkakas elektrik. Pastikan anda beli tahu fungsi dan kesan perkakas bekenaan sebelum berpisah dengan duit di dalam poket!
Aromatherapy (Ehrlich, S. D, 2011) University of Maryland Medical Center
Aromatherapy, Exploring Olfaction (Deng, C. 2011) Yale Scientific
Physiological Effects of Humidifcation (Hanlon, P 2016)
Effects of Air Temperature, Humidity and Air Movement on Thermal Comfort under Hot and Humid Condition (Tanabe, Shinichi & Kenichi 1994)Comfort and Humidity (Berglund 1998)
from Root of Science 
Share on Google Plus

About Gedebak

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment
loading...
loading...
loading...
KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close