Saya melahirkan ketiga-tiga anak secara ceaserian, pelbagai cerita yang menakutkan jika tidak menjaga pemakanan semasa dalam pantang, ada jahitan yang terbuka, perut berair, luka tidak sembuh semua ini menyebabkan saya sentiasa berhati-hati dan menjaga pemakanan semasa dalam pantang supaya proses penyembuhan berlaku dengan cepat.
Untuk perkongsian kita bersama, antara makanan yang kita boleh elakkan semasa dalam pantang terutama mereka yang bersalin secara ceaserian ialah
Sayur-sayuran dan tumbuhan yang menjalar, sejuk dan berangin seperti kangkung, pucuk ubi, sayuran kekacang, timun, labu, petola yang boleh menyebabkan sakit tulang, lemah-lemah sendi dan sejuk pada otot. Biasanya di dalam pantang saya akan makan sayur sawi yang direbus sahaja dan dilebihkan bawang putih.
Buah-buahan yang perlu dielakkan ialah seperti tebu, belimbing, segala jenis pisang yang juga boleh menyebabkan sakit tulang, lemah sendi, angin dalam badan dan sejuk otot. Biasanya penyakit ini dikenali sebagai arthritis dan rheumatisme. Buah oren Sunkist boleh digalakkan makan tetapi ada sesetengah ibu yang tidak boleh sebabnya perut akan menjadi sebu. Rasa sikit dahulu kalau badan rasa lain macam lebih baik berhenti.
Sesetengah orang suka makan ikan masin atau ikan kering dalam pantang, tahukah anda selain tidak mempunyai khasiat, ia juga dipercayai boleh menyebabkan darah nifas berbau busuk dan cepat kering. Untuk pengetahuan semua ada yang bertanyakan saya, jika bersalin secara ceaserian adakah darah nifas masih keluar? Ya, darah nifas masih keluar sebagaimana mereka yang bersalin normal :)
Ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, pari sembilang dan parang, perlu dielakkan dikhuatiri boleh menyebabkan bisa pada pintu rahim. Sebaiknya ikan haruan segar menjadi pilihan semasa di dalam pantang, memandangkan ikan haruan sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran agak payah untuk mencari di bandar2 besar mungkin anda boleh google atau survey di mana tempat yang sentiasa ada menawarkan ikan haruan. Saya akan syer menu masakan ikan haruan untuk next entry :)
Manakala ikan tamban, tongkol, kembung, cencaru dan makanan laut boleh menyebabkan kegatalan kulit dan alahan serta menyebabkan luka pembedahan bernanah...ouchh ni antara kebimbangan saya semasa dalam pantang. Selain ikan haruan, ikan jenahak dan ikan merah biasanya saya akan makan selepas hari ke 20 atau 3 minggu selepasa bersalin.
Ayam biasa atau ayam bandar serta telur ayam perlu dielakkan sehingga 44 hari bersalin, tipsnya ialah makan secara sikit-sikit dahulu selepas 2 jam tengok ada sebarang perubahan atau tidak seperti tempat pembedahan terasa gatal atau tidak, jika ok anda boleh teruskan makan macam biasa itupun perlu berhati-hati.
Lebihkan pengambilan air masak suam semasa berpantang kerana jika kekurangan cecair badan boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman. Selepas pembedahan, risiko jangkitan kuman sering berlaku pada peparu, air kencing. luka dan darah beku dalam kaki. Bila minum banyak air anda akan kerap buang air kecil supaya kuman dapat dikeluarkan dari badan. Bagi mereka yang ceaserian sangat seksa untuk bangun baring, ada caranya untuk bangun supaya luka pembedahan tidak terlalu sakit. Minum air yang banyak juga bagus untuk ibu yang menyusukan bayi. Ibu perlu elakkan air berais, air sejuk, air berkarbonat, air tebu dan teh kerana ia boleh menyebabkan angin dalam badan serta kembung perut.
Cuba elakkan makanan berlemak, berminyak dan berkolesterol tinggi. Ibu dalam pantang digalakkan makan makanan yang direbus, kukus dan panggang lebihkan bawang putih dan lada hitam supaya badan sentiasa panas dan ringan juga buang angin dalam badan.
Daging lembu pula perlu dielakkan sehingga selepas kira-kira 2 minggu bersalin.
Pengambilan makanan seimbang penting untuk proses penyembuhan luka dalaman dan luaran selepas melalui pembedahan. Proses penyembuhan luka memerlukan vitamin, zat dan protein yang cukup untuk mengembalikan tubuh sihat dan cergas kerana ibu yang bersalin juga perlukan tubuh yang sihat bagi menyusukan bayi mereka.
Secara umumnya wanita yang berpantang perlu elakkan makanan laut seperti udang, sotong, ketam, kerana boleh menyebabkan kegatalan pada luka. Manakala telur boleh menyebabkan luka lambat sembuh dan mungkin bernanah.
Manakala ikan laut yang boleh dimakan adalah dari jenis bersisik atau ikan berdaging putih seperti ikan siakap, ikan merah, ikan kerisi, ikan bawal putih, ikan tenggiri atau yang tidak menyebabkan kegatalan.
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang diambil juga perlu dipantau, yang dilarang makan semasa berpantang ialah seperti kubis, tebu, air kelapa dan buah anggur kerana akan menyebabkan tubuh sejuk atau berangin.
RESIPI IBU BERPANTANG ....
Ulam Pegaga
Cara Menyediakan
Bersihkan daun pegaga, anda boleh hiris halus-halus dan untuk
menambahkan perisa, boleh digaulkan dengan hirisan cekur dan makan
bersama-sama nasi panas.
Pegaga merupakan ulaman yang popular dikalangan ibu berpantang
terutamanya untuk menambah selera makan kerana daunnya yang wangi. Ia
diibaratkan sebagai tonik saraf untuk merehat dan menambahkan ingatan.
Pegaga juga dikatakan dapat mengatasi masalah seperti kemurungan yang
mungkin disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Ikan Bilis Lada Hitam
Credit to Google
Bahan-bahannya
5 cm halia muda diracik-racik halus
10 biji lada hitam ditumbuk halus
30 ekor ikan bilis
Sedikit perahan limau nipis (terpulang)
Cara Menyediakannya
Gaulkan ke semua bahan tersebut dan makan bersama-sama dengan nasi panas. Ok sekarang saya lapar hehe
Sup Sawi Masak Rebus
Credit to Google
Bahan-bahan
Sayur Sawi
3 ulas bawang putih (dihiris atau ditumbuk halus)
2 ulas bawang merah (dihiris atau ditumbuk halus)
Lada hitam (terpulang, kalau nak pedas boleh lebihkan)
Garam secukup rasa
Cara-cara memasak
Lada hitam ditumbuk halus kemudian panaskan air dalam periuk, selepas
air menggelegak masukkan bahan-bahan rempah diikuti dengan sayur, jangan
terlalu lama untuk mengekalkan khasiat sayur. Tutup api dan boleh
dihidangkan.
Untuk makluman, sepanjang saya berpantang setiap hari saya makan sup sawi masak rebus ni untuk elakkan sembelit.
Nota: Kalau dah bosan dengan sawi masak rebus boleh cuba memasak sup lobak putih.
Ikan Masak Singgang (pun femes)
Bahan-bahan
Beberapa kepingan ikan (tenggiri, ikan merah, ikan siakap, bawal putih)
Setengah inci kunyit hidup
Setengah inci halia
Sedikit asam keping
2 atau 3 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
Cara-cara memasak
Hiris halus ke semua bahan, masukkan air dalam periuk dan panaskan
sehingga air menggelegak. Kemudian masukkan ikan, biarkan seketika
hingga ikan empuk sebelum api ditutup.
Ikan Panggang Kunyit
Bahan-bahan
Ikan pilihan masing-masing yang boleh dimakan semasa pantang (ikan haruan pun sedap)
Setengah inci kunyit hidup
Setengah inci halia
Seulas bawang putih
Seulas bawang merah
Lada hitam
Ketumbar
Garam secukup rasa
Cara-cara Memasak
Tumbuk ke semua bahan di atas, gaulkan pada ikan dan bakar. Untuk
mempelbagaikan rasa dan menambah selera, boleh cuba beberapa perkara
berikut
Dibakar begitu sahaja dengan menggunakan pemanggang ikan atau pemanggang ajaib
Ikan dibalut dengan daun pisang kemudian dibakar
Tukar bahan rempah, selang seli kalau hari ni menggunakan lada hitam esoknya pula guna ketumbar pula.
Steam / Kukus Ikan
Bahan-bahannya
Ikan
2 inci halia dhiris
1 biji tomato dibelah 4
Sedikit daun sup atau daun bawang
Lada hitam sedikit
Garam secukup rasa
Cara-cara Memasaknya
Letakkan halia yang dihiris dengan banyak, buah tomato ditpotong, daun sup dan daun bawang dan sedikit garam serta lada hitam di atas ikan.
Kukus sehingga ikan masak
Mungkin selepas sebulan anda boleh cuba pula menu yang berasaskan ayam dan daging, sebaik-baiknya makan sedikit demi sedikit untuk menyesuaikan dengan badan uolls dan baby atau dengan kata lain takut badan terperanjat terutamanya baby yang menyusu badan sepenuhnya. Terdapat pelbagai menu yang menyelerakan untuk uolls dalam pantang, yang tak berpantang pun boleh terbuka selera tau :)
sumber : http://blossommommy.blogspot.my
Blogger Comment
Facebook Comment