( Info ) Daun Rerama Palsu? Tidak Dapat Sembuh Kanser?
Kuala Lumpur: Populariti daun rerama yang diyakini mampu menyembuhkan sakit kanser diambil kesempatan pihak tertentu untuk mengeluarkan produk tiruan.
Terbaru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur membongkar kegiatan penipuan penjualan produk daun rerama palsu di beberapa premis di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di sini.
Dalam pemeriksaan mengejut bermula kira-kira jam 11 pagi semalam, sebanyak 38 pek produk daun rerama dianggarkan bernilai RM2,638 dirampas.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat laporan daripada pemilik asal cap dagang sah.
Menurutnya, peniaga terbabit dikesan melakukan kesalahan menjual produk daun rerama menggunakan cap dagang milik syarikat berdaftar tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan yang dijalankan enam pegawai dan anggota KPDNKK itu menemui produk daun rerama yang menggunakan jenama sama dengan pemilik asal cap dagang.
“Pasukan A yang membuat serbuan merampas 16 pek produk berkenaan dengan nilai dianggarkan RM768 manakala pasukan B merampas 22 lagi pek dianggarkan bernilai RM1,870,” katanya.
Beliau berkata, pemilik kedai memberikan kerjasama baik ketika pemeriksaan dijalankan dan mendakwa tidak mengetahui jenama produk itu melanggar peraturan.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/180852
Blogger Comment
Facebook Comment