HULU TERENGGANU - Golongan belia berumur 30 tahun ke bawah dikesan menjadi pengguna aktif media sosial Facebook iaitu kira-kira 57 peratus daripada 18 juta pengguna Facebook di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, daripada jumlah itu, 56 peratus adalah pengguna dari kalangan lelaki manakala pengguna wanita adalah sebanyak 44 peratus.
"Menerusi kajian yang dijalankan, kita juga mendapati golongan ini secara purata melayari Internet menerusi komputer peribadi selama empat jam 38 minit sehari dan tiga jam 37 minit sehari menerusi telefon bimbit.
"Walaupun statistik berkenaan tidak membimbangkan namun kita tidak mahu golongan belia terlalu bergantung kepada media sosial terutama Facebook dalam kehidupan seharian.
"Seharusnya golongan belia perlu didedahkan dengan pelbagai kegiatan luar bagi memupuk potensi dalam diri mereka yang akan menerajui negara ini pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program Pewaris Muda dan Alumni Peringkat Kebangsaan 2016 serta melancarkan Skuad Sukarelawan Banjir Hulu Terengganu di Kampung Payang Kayu, dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat.
Program Pewaris Muda dan Alumni Peringkat Kebangsaan merupakan program tahunan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Seramai 120 orang pelajar berbilang kaum dari beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta berpeluang tinggal bersama keluarga angkat masing-masing selama tiga hari dua malam.
Antara aktiviti yang disertai mereka ialah gotong-royong keceriaan kampung, kuliah agama, senamrobik, sukan rakyat dan kenduri kampung.
Terdahulu, Jailani dalam ucapannya menarik perhatian persatuan-persatuan belia agar terus menggalakkan golongan belia memupuk rasa kecintaan terhadapnegara menerusi program-program pembentukan jati diri seperti Program Pewaris Muda.
Menerusi program sedemikian, mereka dapat menyumbang secara positif dalampembangunan masyarakat, kawasan kejiranan dan negara, katanya.
"Dalam membimbing dan mengasuh belia untuk menjadi anggota masyarakat yang merupakan aset yang berharga dan tidak membebankan kepada negara kita, golongan belia berhadapan dengan cabaran dan hambatan globalisasi, dunia tanpa sempadan dan ledakan maklumat telekomunikasi yang sesetengahnya membawa implikasi positif dan ada juga membawa kepada perkara negatif.
"Di sinilah pentingnya peranan persatuan-persatuan belia di negara ini menarik perhatian belia untuk lebih memainkan peranan dalam masyarakat, menyumbang secara positif dalam pembangunan masyarakat, kawasan kejiranan dan negara.
"Dalam masa yang sama, persatuan-persatuan belia ini juga harus menarik perhatian mereka supaya tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti perhimpunan haram, menyebarkan maklumat palsu serta hasutan di media sosial, umumnya," katanya.
Katanya, suara belia serta pembabitan belia dalam membangunkan negara bukanlah satu ajakan kosong semata-mata kerana peranan dan sumbangan belia amat penting dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan di samping menjadi tonggak kepada pentadbiran serta kepimpinan negara. - Bernama
Blogger Comment
Facebook Comment