KLUANG, JOHOR - Sudahlah sakit, telefon bimbit dan dompet seorang pesakit dicuri ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di Wad 8A, tingkat 8 HEBHK, telefon jenis Samsung Galaxy S6 dan dompet berisi wang tunai berjumlah RM1,000 dan beberapa barang lain telah dicuri ketika mangsa sedang tidur.
Menurut Reza Shamsudin, anak kepada mangsa berkata, bapanya baru saja dipotong ibu jari kaki akibat kencing manis, ditimpa pula masalah seperti ini.
"Sungguh pelakunya tidak berhati perut, telefon Samsung Galaxy S6, dompet berisi RM1,000, MyKad, kad pesara, telefon Nokia lama semua habis dicuri.
"Dalam telefon Samsung itu pula mengandungi gambar-gambar arwah ibu saya yang baru meninggal. Disimpan untuk menjadi tatapan bapa saya yang masih bersedih akan kehilangannya.
"Saya mendoakan semoga isi bumi dan langit, segala sesuatu yang bernyawa dan tidak bernyawa akan melaknat setiap pergerakan pelakunya di muka bumi Allah swt ini kerana memberi kesusahan kepada orang yang sakit lagi terseksa," katanya.
Walaupun begitu, Reza amat berharap individu terbabit memulangkan MyKad, kad pesara dan gambar-gambar arwah ibunya.
"Jika kamu nak ambil Samsung Galaxy S6 dan duit RM1,000 itu, ambillah. Biarlah kamu merasa duit haram ini. Tetapi kembalikan Mykad, kad pesara dan gambar-gambar arwah ibu saya," katanya yang juga turut memohon netizen viralkan perkara ini di media sosial.
Kredit - The Reporter
Kredit - The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment