Bukti wanita gagah dan tabah, kisah ini boleh dijadikan semangat bagi wanita ibu tunggal. Walaupun Azharina sendirian dalam melayari kehidupan tanpa seorang lelaki sebagai suami di sisi, dia tidak berasa sunyi kerana sering ditemani saudara-mara.
Namun, naluri keibuannya tetap datang bertandang dalam hidupnya. Ketika bergelar isteri selama lima tahun dengan bekas suami, Azarina tidak dikurniakan anak. Namun, menurut Azharina, dia bukan tidak mahu anak tetapi tiada rezeki.
“Sebenarnya mungkin ramai yang tidak tahu, saya pernah keguguran sebanyak empat kali. Sebagai wanita, tidak mungkin saya tidak mahukan anak. Nak buat macam mana, tiada rezeki dalam soal anak.
“Saya sibukkan diri dengan urusan perniagaan. Ini sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan itu. Walaupun saya sudah lama bercerai, namun hubungan dengan bekas suami masih lagi baik,” ceritanya.
Ibu susuan
Mungkin sebelum ini ada yang tidak tahu Azharina mempunyai seorang anak angkat lelaki.
“Kehadiran Rahmat bagi saya satu rahmat dari Allah, sebab itu saya namakannya Rahmat. Sebenarnya Rahmat adalah anak sepupu saya. Jadi, ikatan darah kami kuat. Saya ambil Rahmat sejak dia dilahirkan iaitu pada tahun 2014 lagi. Segalanya berlaku dengan pantas dan saya sendiri terkejut serta tidak menjangka ia terjadi.
“Segalanya diatur oleh ibu bapa saya. Setahun sebelum ambil Rahmat, pernah ada seorang ibu tunggal mahu berikan anaknya kepada saya. Ketika itu saya memang sedang mencari anak angkat. Saya minta tolong dengan sahabat untuk siarkan di Facebook tentang hal tersebut. Saya mahukan anak lelaki.
“Saya terus bersemangat apabila seorang wanita mahu memberikan anaknya mendapat tahu kandungan tersebut adalah bayi lelaki. Akhirnya apabila wanita itu bersalin, kami terkejut kerana ia bayi perempuan. Jadi, saya tidak jadi mengambilnya. Mungkin takdir saya dengan Rahmat juga.
“Berbalik kepada Rahmat, selepas diberitahu tentang pengambilan Rahmat sebagai anak angkat, 15 hari saya berfikir. Kemudian setelah Rahmat lahir, saya disuruh balik ke Sabah secara tiba-tiba. Pada fikiran saya hanya mahu melawat sepupu yang baru bersalin tetapi tak sangka terus disuruh mengambil Rahmat.
“Selepas bawa balik Rahmat ke KL, kehidupan saya berubah sepenuhnya. Bayangkan saya bukan ada pengalaman menjaga anak. Ibu pula hanya tunjukkan sekejap sahaja cara memandikan bayi. Selainnya saya kena buat sendiri. Seminggu saya kelam kabut menguruskan Rahmat.
“Bagi menghalalkan hubungan saya dan Rahmat, saya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai penyusuan bayi dan mempunyai susu badan sendiri. Doktor bagi ubat dan suntikan untuk mendapatkan susu badan. Pengalaman menyusukan badan benar-benar mencabar ketahanan saya. Saya hanya mampu menyusukannya selama sebulan sahaja kerana berlakunya komplikasi pada payu dara saya.
“Alhamdulillah kebetulan ketika itu adik saya sedang mengandung dan melahirkan tidak lama selepas itu. Rahmat menyusu susu adik saya. Adik kirimkan susu badannya untuk Rahmat,” terangnya.
Trauma berkahwin
Sembilan tahun bersendirian boleh dikatakan satu tempoh yang agak lama. Sungguhpun Azharina mengakui dia tidak keseorangan kerana mempunyai Rahmat dan saudara-mara yang selalu menemaninya, namun tidak sama dengan kehadiran seorang suami. Sebagai wanita, tidak mungkin dia tidak mahu ada lelaki sebagai teman hidup.
Menurut Azharina buat masa ini dia lebih selesa hidup sendiri dan tidak memikirkan soal kahwin. Terus-terang dia mengakui dia seakan trauma untuk berkahwin lagi.
“Siapa saya untuk menolak jodoh seandainya itu yang sudah ditetapkan. Namun, saya tegaskan di sini, buat masa ini memang saya sudah trauma untuk berkahwin lagi. Selama sembilan tahun tidak bersuami, bukan tiada lelaki yang datang dan menyatakan hasrat untuk melamar, tetapi saya menolaknya dengan baik.
“Namun sekiranya bertemu jodoh sekali lagi, biarlah lelaki itu seorang yang beriman, bertanggungjawab, penyayang dan boleh menerima Rahmat. Saya akui, bukan senang hidup sebagai ibu tunggal. Masyarakat sering melabelkan status ini mesti suka ambil suami orang. Mereka sering pandang negatif pada orang seperti saya. Pengalaman banyak mengajar saya erti hidup,” ujarnya.
Bertuah Azharina kerana mempunyai wajah dan kulit yang cantik. Apa rahsianya, ketahui petua dan cerita penuh dalam majalah Mingguan Wanita bilangan 1725 (9-15 Disember 2016/9-15 Rabiulawal 1438H yang sudah ada di pasaran.
Baca di website
Blogger Comment
Facebook Comment