Kacang soya (Glycine max, Glycine soja, Soja soja, Soja japonica) adalah sejenis kacang legum yang dikatakan natif atau berasal dari Asia Timur. Sesetengah pendapat yang mengatakan diet berasaskan soya adalah pengaruh barat adalah tidak tepat.
Soya dan makanan berasaskan soya sebenarnya adalah diet orang asia sejak ribuan tahun yang lalu. Walaupun sekarang soya adalah tumbuhan eksport utama bagi Amerika dan Argentina, bukti arkeologi telah menemukan bahawa soya telah menjadi sebahagian dari hidup orang-orang di China sekitar 7000 and 6600 BCE, 5000 and 3000 BCE di Jepun and 1000 BCE di Korea.
Jika kita lihat dengan mata kasar juga kita akan mengakui nenek moyang kita telah menurunkan pelbagai jenis makanan berasaskan soya kepada kita. Kicap, tauhu, tempe, tauchu dan taufufah malah sayur lodeh yang tidak lengkap tanpa tauhu kering yang sedap tu kita tidak belajar dari barat!
KACANG SOYA MAKANAN TIDAK BERMANFAAT?
Kacang soya adalah legum yang berprotein tinggi dan mengandungi kebanyakan asid-asid amino yang penting untuk kesihatan manusia. Sebab itulah kacang soya adalah diet amat penting bagi orang-orang yang mengamalkan diet vegan. Kacang soya juga mengandungi vitamin-vitamin (terutama keluarga vitamin B dan vitamin K) yang tinggi dan mengandungi mineral yang baik.
Soya juga mempunyai lipid yang baik untuk kesihatan walaupun beberapa kajian dan meta-analisis menunjukkan kacang soya meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok dan penyakit koronari jantung pada populasi eropah dan Amerika. Menariknya, beberapa kajian juga menunjukkan pengambilan makanan berasaskan soya menunjukkan kesan yang sebaliknya pada orang asia – ia merendahkan risiko penyakit-penyakit kardiovaskular yang disebutkan khusus pada kelompok populasi orang-orang asia (lihat kertas kajian Yan et al. (2017) dan Lou et al. (2016) dibahagian rujukan).
KACANG SOYA & KANSER
Berbeza dari tanggapan umum, tabiat pengambilan makanan berasaskan soya sebenarnya mempunyai sedikit kesan bagi merendahkan risiko bagi kanser payudara, endometrium dan prostat. Menariknya, kesan ini dapat dilihat pada populasi asia berbanding populasi lain.
Ini tidaklah menghairankan, contohnya insiden kanser payudara sepanjang tiga dekad bagi populasi Jepun adalah lebih rendah dua kali ganda berbanding Amerika (secara purata berdasarkan populasi dan jenis kanser).
Walaupun statistik ini mungkin juga dipengaruhi oleh ratusan faktor lain, kita mengetahui bahawa masyarajat di Jepun banyak mengambil makanan berasaskan soya dalam diet mereka. Kicap, pelbagai jenis tofu, miso (kacang soya yang diperam dengan garam dan fungus Aspergillus oryzae dan digunakan sebagai asas bagi sup dan perasa), natto (kacang soya yang ditapai dengan bakteris Bacillus subtilis dan dimakan begitu saja), edamame (kacang soya muda yang direbus dengan air garam sebagai snek).
SOYA & PHYTOESTROGEN
Soya dan bijirin legum (kekacang) sangat kaya dengan isoflavone, iaitu sejenis phytoestrogen. Kumpulan isoflavone ini digelar phytoestrogen kerana bentuknya dan aktivitinya yang seakan-akan estrogen (sekurang-kurangnya mampu menambat pada reseptor estrogen dalam tubuh kita).
Kebanyakan phytoestrogen bertindak sebagai modulator reseptor estrogen yang selective (Selective oestrogen receptor modulator, SERM). Walaupun phytoestrogen ini mampu menambat pada reseptor, ia tidak semestinya bersifat agonis yang mengaktifkan reseptor tersebut.
Tambahan pula, pengambilan phytoestrogen dari diet secara normal biasanya tidak memberi amaun yang mencukupi untuk memberi kesan fisiologi yang ketara. Adakah lelaki akan mandul dengan pengambilan soya?
Kemungkinan besar TIDAK.
Lihat saja datuk nenek kita yang biasanya punya belasan anak-anak walaupun memakan tauhu, tempe dan kicap!
Tahukan anda?
Tamoxifen adalah sejenis SERM yang digunakan sebagai agen kemoterapi untuk membunuh sel kanser payudara. Walaupun bentuknya seakan-akan estrogen dan menambat pada reseptor estrogen, ia membantutkan transkripsi gen-gen pembahagian sel yang selalunya diaktifkan oleh estrogen di payudara.
GENISTEIN
Genistein adalah salah satu contoh isoflavone phytoestrogen yang terdapat dalam soya. Kompaun ini bersifat antiangiogenik – menghalang pembentukan salur darah pada tisu kanser, sekaligus menghalang kanser merebak. Menariknya, genistein mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menambat dan mengaktifkan reseptor estrogen beta (ERβ) yang bersifat penindas tumor (tumour suppressor) berbanding Erα yang bersifat menggalakkan pembahagian dan pertumbuhan sel.
Ada beberapa lagi phytoestrogen yang terdapat dalam soya, seperti diadzen, coumastrol yang mepunyai kedua-dua sifat estrogenik dan antiestrogenik. Pengambilannya dalam diet yang normal adalah selamat.
Namun begitu, bagi pesakit kanser dan yang mempunyai risiko mengidap kanser atau sedang dalam rawatan, pengambilan makanan berasaskan soya seeloknya dikurangkan atau dielakkan kerana sesetengah phytoestrogen dikatakan mampu meningkatkan perkembangan kanser atau mampu berinteraksi dengan kemoterapi seperti tamoksifen.
SOYA & HYPOTHYRODISM
Kandungan phytoestrogen dikatakan mampu menurunkan hormon thyroid dalam tubuh kita. Namun, keadaan ini dapat dielakkan dengan pengambilan mineral iodin yang cukup. Malahan kajian terkini menunjukkan sifat antithyroid genistein adalah tidak signifikan pada manusia yang sihat dan cukup nutrisi dan mineral.
SOYA & PHYTATES
Satu lagi kebimbangan tentang soya adalah disebakan kehadiran phytates atau asid phytic yang juga hadir dalam kebanyakan legum. Molekul phytates sebenarnya adalah antioksidan yang kuat dan bersifat ‘chelator’ mineral. Jadi ia mungkin menyebabkan kekurangan zat besi, zink dan kalsium yang penting dalam tubuh kita. Namun, jika kita mengambil diet yang seimbang tiada masalah (pemakan daging seperti orang Malaysia? Selalunya tiada masalah kekurangan mineral).
SOYA & GOUT
Makanan berprotein tinggi seperti soya, kaya dengan purina yang akan dicerna menjadi asid urik. Asid urik adalah punca utama penyakit gout. Jadi soya adalah berita buruk buat mereka yang mengidap penyakit ini.
Kesimpulannya, makanan seperti soya adalah sama seperti makanan-makanan lain yang kita ambil sehari-hari. Jika diambil secara berpada-pada tiada masalah. Jika diambil secara berlebihan… memanglah bermasalah.
Mari kita ambil sifat bersederhana dan bersifat terbuka dalam sesuatu hal. Makanlah secara sederhana, minumlah secara sederhana. Janganlah kita mengajak orang lain membenci sesuatu yang kita tidak sukai sedangkan perkara tersebut bukanlah mudarat atau haram secara syari’e.
Rujukan:
Yan Z, Zhang X, Li C, Jiao S, Dong W. Association between consumption of soy and risk of cardiovascular disease: A meta-analysis of observational studies. Eur J Prev Cardiol. 2017 Jan 1:2047487316686441. doi: 10.1177/2047487316686441. [Epub ahead of print]
Lou D, Li Y, Yan G, Bu J, Wang H. Soy Consumption with Risk of Coronary Heart Disease and Stroke: A Meta-Analysis of Observational Studies. Neuroepidemiology. 2016;46(4):242-52. doi: 10.1159/000444324. Epub 2016 Mar 15.
Lee, Gyoung-Ah; Crawford, Gary W.; Liu, Li; Sasaki, Yuka; Chen, Xuexiang. “Archaeological Soybean (Glycine max) in East Asia: Does Size Matter?”. PLoS ONE. 6 (11): e26720. doi:10.1371/journal.pone.0026720. Retrieved 2 August 2015.
Maskarinec G1, Ju D1, Morimoto Y1, Franke AA1, Stanczyk FZ. Soy Food Intake and Biomarkers of Breast Cancer Risk: Possible Difference in Asian Women? Nutr Cancer. 2017 Jan;69(1):146-153. doi: 10.1080/01635581.2017.1250924.
Zhong XS, Ge J, Chen SW, Xiong YQ, Ma SJ, Chen Q. Association between Dietary Isoflavones in Soy and Legumes and Endometrial Cancer: A Systematic Review and Meta-Analysis. J Acad Nutr Diet. 2016 Nov 30. pii: S2212-2672(16)31203-5. doi: 10.1016/j.jand.2016.09.036.
Zafar A, Singh S, Naseem I. Cytotoxic activity of soy phytoestrogen coumestrol against human breast cancer MCF-7 cells: Insights into the molecular mechanism. Food Chem Toxicol. 2017 Jan;99:149-161. doi: 10.1016/j.fct.2016.11.034.
Kaushik S, Shyam H, Sharma R, Balapure AK. Genistein synergizes centchroman action in human breast cancer cells. Indian Journal of Pharmacology. 2016;48(6):637-642. doi:10.4103/0253-7613.194852.
Patisaul, Heather B.; Melby, Melissa; Whitten, Patricia L.; Young, Larry J. (2002). “Genistein Affects ERβ- But Not ERα-Dependent Gene Expression in the Hypothalamus”. Endocrinology. 143 (6): 2189–2197. doi:10.1210/endo.143.6.8843. ISSN 0013-7227.
Marini H, Polito F, Adamo EB, Bitto A, Squadrito F, Benvenga S. Update on genistein and thyroid: an overall message of safety. Frontiers in Endocrinology. 2012;3:94. doi:10.3389/fendo.2012.00094.
Doerge DR, Sheehan DM. Goitrogenic and estrogenic activity of soy isoflavones. Environmental Health Perspectives. 2002;110(Suppl 3):349-353.
from Root of Science http://ift.tt/2jrY7vp via IFTTT
Blogger Comment
Facebook Comment