1. Ajarkan konsep kenyang
Anda mungkin tidak kisah sekiranya anak anda suka makan, asalkan ia makanan sihat. Biarpun makanan dan minuman sihat, namun pengambilannya harus dihadkan kerana segala yang berlebihan itu tidak baik. Ajarkan anak konsep kenyang. Katakan padanya, "Adakah perut kamu rasa penuh? Kalau ya, ia menandakan kamu sudah kenyang dan harus berhenti makan." Anda harus berulang kali mengingatinya, kerana mungkin dia belum memahaminya.
2. Kunyah dengan betul
Perhatikan bagaimana anak anda mengunyah. Jika terlalu cepat, maka makanan yang ditelannya masih kasar dan membuatnya cepat kenyang, tetapi cepat lapar semula. Selain itu, dek kerana mengunyah terlalu cepat, anak anda tidak dapat menikmati tekstur, rasa dan aroma makanan. Sayang sekali, walhal makan merupakan aktiviti menyeronokkan sekiranya dihayati. Jadi, ciptakan suasana makan yang membuatkan anak mengunyah lebih lambat dan dia menikmati makanan dengan baik.
3. Sediakan makanan sihat
Untuk mengawal nafsu makan yang berlebihan, sediakan makanan sihat. Makanan sihat, selain mengenyangkan juga tidak mempunyai cita rasa yang merangsang selera. Ia tidak terlalu enak, masin dan manis, yang membuatkan si anak "ketagihan". Sediakan sayur dan buah yang mengenyangkan bagi melengkapi nutrisi, misalnya epal, pisang, pear atau hirisan lobak merah. Elakkan makanan ringan tinggi lemak, misalnya kuih-muih yang manis atau makanan ringan berkalori kosong seperti kerepek dan keropok.
4. Jauhkan daripada jangkauan
Cuba periksa kediaman anda, adakah mempunyai banyak balang kaca berisi makanan di sana sini? Adakah anda menyimpan pelbagai jenis makanan ringan di dalam almari yang mudah dicapai oleh anak? Sekiranya ada, besar kemungkinan mereka akan tertarik untuk mengambil dan menikmatinya. Salah satu faktor yang membuatkan anak-anak suka makan adalah kerana makanan tersebut sudah ada di depan mata.
5. Alihkan perhatiannya
Hobi makan mungkin menjadi salah satu cara anak-anak mengawal perasaan mereka ketika sedih, bosan atau stres. Melalui makanan, anak akan berasa tenang dan selesa. Jadi tugas anda adalah memberitahu mereka bahawa rasa tenang dan selesa tidak hanya dapat dirasai melalui makan, tetapi juga menerusi pelukan, perbualan, menyanyi, bersiar-siar atau bermain bola. Ganti kebiasaan memberi gula-gula untuk mendiamkan mereka daripada tangisan!
Layari laman web
Blogger Comment
Facebook Comment