1. Solat tahajud
Solat sunat tahajud ialah amalan sunat yang utama. Kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajudnya. Doa yang dipanjatkan ketika tahajud diumpamakan seperti anak panah yang mengenai sasarannya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah. Tahajud adalah peluang untuk mengadu, menangis dan merintih kepadaNya ketika insan lain enak dibuai mimpi tentunya memberikan ketenangan, kelegaan dan kegembiraan. Tahajud ialah kunci ketenangan dan kegembiraan yang jelas boleh dilihat pada wajah hambaNya yang sentiasa tenang dan reda.
2. Membaca Al-Quran
Amalkan membaca Al-Quran sebelum terbit matahari. Amalan ini dilakukan sewaktu minda sedang segar pada pagi hari sebelum melihat kesibukan dunia ini. Alangkah baiknya mata membaca kitab Allah ini terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Hikmahnya, diri terhindar daripada kejahatan dan mendekat diri kepada Allah. Paling tidak, bacalah ayat tiga Qul atau ayat Qursi.
3. Solat Subuh di masjid
Solat subuh berjemaah di masjid perlu menjadi keutamaan. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke rumah Allah ini kerana di masjid ada keberkatannya. Pergilah bukan kerana panggilan muazin tetapi kerana panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
4. Solat Dhuha
Jaga solat Dhuha kerana kunci rezeki terletak padanya. Yakinlah, kesan solat Dhuha amat dahsyat dalam mendatangkan rezeki. Sesungguhnya ia menarik rezeki dan menolak kepapaan. Sebuah hadis diriwayatkan oleh Aisyah yang bermaksud "Rasulullah bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendaki."(Hadis Muslim dan Ibnu Majah).
5. Bersedekah
Sesungguhnya Allah suka pada orang yang bersedekah. Malaikat selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda. Sedekah itu akan tidak akan menyebabkan harta seseorang berkurangan, malah akan sentiasa bertambah dengan izinNya.
6. Sentiasa berada dalam wuduk
Sentiasa menjaga wuduk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwuduk. Berwuduk ialah kekuatan simboliknya iaitu memberikan rasa percaya diri sebagai orang yang bersih dan setiap waktu dapat menjalankan ketaatannya kepada Tuhan seperti mendirikan solat, menyentuh atau membaca Al-Quran. Malah dengan sentiasa di dalam wuduk akan menghindarkan diri daripada gangguan jahat syaitan dan iblis yang sering mencari jalan untuk menyesatkan manusia.
7. Zikir
Amalan beristighfar setiap saat. Lafaz istighfar ialah bermaksud "Aku memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Agung". Lafaz yang pendek ini cukup bermakna dan boleh diamalkan dengan mudah. Abu Hurairah berkata, "Saya telah mendengar Rasulullah bersabda: Demi Allah, Sesungguhnya aku minta ampun kepada Allah (beristighfar) dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali." (Hadis Riwayat Bukhari). Zikir pula adalah kata-kata pujian sebagai bukti kesyukuran kita kepada Allah. Ia juga merupakan makanan rohani kepada jiwa yang mampu menangkal diri daripada sifat-sifat keduniaan yang sementara.
8. Puasa
Sunat berpuasa pada enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Isnin dan Khamis; puasa pada hari Assyura (10 Muharam), puasa sunat pada bulan Rejab dan puasa hari Wukuf di Arafah (9 Zulhijjah) bagi yang tidak menunaikan haji. Selain itu Rasulullah juga melazimkan puasa pada 13,14 dan 5 setiap bulan Hijriyah (ayyamul bidh); puasa pada 28, 29 dan 30 pada setiap bulan Hijriyah serta puasa pada nisfu Syaaban.
Layari laman web
Blogger Comment
Facebook Comment