Gambar - Berita Harian |
Mohd Ridhuan Giman, 34, dan isterinya, Siti Sarah Maulad Abdullah, 26, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan pegawai penguatkuasa Jawi, Mohd Shiham Ramli dan Mohammad Izehar Md Amin, Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Ketua Pengarahnya, Jawi, Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketujuh.
Tindakan undang-undang itu diambil kerana JAWI melakukan penangkapan dan penahanan secara salah, pencerobohan diri serta privasi selain didakwa turut melakukan penyalahgunaan kuasa penjawat awam dan perlanggaran kebebasan asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, 8 Januari lalu, pasangan berkenaan menginap di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur. Kira-kira jam 1.30 pagi, bilik mereka diserbu sekumpulan pegawai agama yang terdiri dari 7 pegawai lelaki dan seorang pegawai wanita.
Ridhuan memaklumkan isterinya berada di dalam bilik dan tidak berpakaian lengkap, namun tanpa keperluan pegawai lelaki mendesak memasuki bilik berkenaan secara paksa dan mengakibatkan pergelutan di antara mereka sehingga menyebabkan Ridhuan cedera di bahagian leher.
Walaupun beberapa kali Ridhuan memaklumkan bahawa mereka adalah suami isteri yang sah termasuk menunjukkan gambar nikah dan sijil nikah yang disimpan di telefon bimbit, pegawai terbabit enggan menerima bukti itu dan berkeras mahu menahan mereka.
Sebaliknya, Siti Sarah diarah memakai pakaian lengkap di depan suaminya dan pegawai lelaki itu, manakala seorang daripada pegawai lelaki masih terus menangkap gambar dan merakam video pasangan itu walaupun sudah dimaklumkan status sah perkahwinan mereka.
Pasangan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Tun H.S Lee bagi laporan tangkapan atas dakwaan berkahlwat sebelum dibawa ke pejabat Jawi.
Peguam pasangan berkenaan, Yusfarizal Yusoff berkata, tujuan mereka mengambil tindakan undang-undang adalah bagi menuntut keadilan terhadap anak guamnya.
"Kami merasakan undang-undang tersebut, lunas dan prinsip umum perlu dipatuhi seperti menjaga privasi orang yang diserbu, kebebasan hak asasi mereka dan akhlak dalam serbuan kerana ini membabitkan aurat wanita berkahwin.
"Kedua, kita menuntut keadilan bagi prosedur serbuan itu sendiri setelah anak guam saya mengemukakan bukti. Paling mengecewakan saya secara peribadi, bila anak guam saya mengemukakan salinan sijil asal nikah pada malam kejadian di pejabat Jawi, mereka masih enggan menerimanya.
"Kalau ini boleh berlaku pada anak guam saya, ini juga boleh berlaku pada sesiapa sahaja. Jadi kita mengambil tindakan ini atas kesedaran memperbetulkan salahguna kuasa yang berlaku dan untuk keadilan pada anak guam," katanya.
Pasangan suami isteri itu menuntut 4 perkara iaitu ganti rugi am, teruk dan teladan; kenyataan maaf; penarikan balik segala siasatan lanjut terhadap mereka dan kos tindakan serta faedah.
Bagaimanapun, Yusfarizal tidak menamakan amaun saman kerana kaedah mahkamah terbaru tidak membenarkan amaun kerosakan dinamakan.
Difahamkan, Mohd Ridhuan dan Siti Sarah telah bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur dan pernikahan itu didaftarkan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. - The Reporter
Sumber: Sinar Harian, Free Malaysia Today
Blogger Comment
Facebook Comment