"Mama, mana bear Aina?" tanya Aina yang akan 'kecoh' bila 'teddy bear' kesayangan hilang daripada pandangan matanya.
Setiap masa patung beruang itu akan didukung ke hulu dan ke hilir sampaikan tidur pun mesti ada di sebelahnya dan bila keluar berjalan, patung itu akan dibawa bersama. Bahkan jika hendak dibasuh pun dia akan marah.
Adakah anak anda pun ada mainan kesayangan? Kalau ada, baik anda faham betul-betul tentang fakta ini.
1. Hampir setiap kanak-kanak yang berusia antara 18 bulan hingga lima tahun akan mempunyai mainan kesayangan atau objek peralihan seperti 'teddy bear', kereta mainan, selimut atau bantal busuk. Objek ini seolah-olah telah digamkan pada badan anak anda sehingga mereka menghalang cubaan untuk kita meninggalkan barangan itu di rumah (bila keluar bersiar-siar) atau membasuhnya. Jangan cuba buat ya kalau tak mahu anak anda menangis!
2. Kebanyakan kanak-kanak menjadi 'melekat' kepada sesetengah objek peralihan (biasanya selimut, patung permainan atau hisap jari) sebelum mereka mencecah usia setahun, tetapi kelakuan ini selalunya semakin memuncak pada usia dua tahun.
3. Objek peralihan ini menyediakan mereka rasa selamat bila kanak-kanak mula belajar meneroka dunianya dan menjadi semakin berdikari.
4. Objek ini juga memberikan rasa selamat pada sesetengah masa terutama bila mereka dalam ketakutan seperti dalam tempat gelap, orang asing atau haiwan yang ditakuti.
5. Anda tak perlu risau yang 'teddy bear' busuk anak anda akan mengekorinya sehingga dia naik ke pentas mengambil ijazah (mungkin ada sesetengah kes masih lagi bergantung pada objek kesayangan).
6. Biasanya antara usia 2-5 tahun, kebanyakan kanak-kanak sudah bersedia untuk mengucapkan 'bye-bye'pada mainan kesayangan mereka (walaupun kadang kala masih lagi melekat terutama ketika mereka stres).
7. Pergantungan ini bukanlah perkara yang luar biasa, tetapi anda hanya perlu memantaunya. Jika si kecil terlalu obses 'melekat' dengan mainan kesayangannya berbanding bermain dengan alat permainan lain atau bersosial dengan kawan-kawan sebaya, mungkin perlu periksa kemungkinan ada situasi tertekan lain di rumah atau ada masalah dengan pengasuhnya.
Apa yang perlu dibuat?
Mula-mula, buat apa yang sepatutnya anda JANGAN buat! Jangan sekali-kali mengejek anak anda tentang pelekatannya pada mainan kesayangan, dan jangan berkeras supaya dia melupakannya. Anda boleh mula buat langkah-langkah berikut sebagai persediaan awal anak boleh meninggalkan objek tersebut dengan mudah bila tiba masanya.
a. Tetapkan had, jika boleh
Beritahu anak anda yang mainannya hanya boleh dibawa ke sana sini dalam rumah sahaja tetapi bukan di taman permainan atau boleh bawa bersama ke dalam kereta tetapi perlu ditinggalkan bila keluar dari kereta. Alasan yang boleh diberi, takut kotor atau 'teddy bear' boleh tertinggal di restoran.
b. Dapatkan bantuan anak anda
Suruh anak cari tempat yang khas di dalam rumah yang dia boleh simpan mainannya dengan selamat bila dia bermain di luar rumah. Kalau nak tinggalkan dalam kereta, letakkan 'teddy bear' dalam kedudukan yang elok dan disetujui oleh si kecil.
c. Tetapkan hari membersihkan objek kesayangannya
Biasakan anak untuk 'memandikan' patung/mainan kesayangannya. Bagi alasan faktor kebersihan atau elakkan daripada jangkitan penyakit jika ia tidak dibersihkan. Kalau anak jenis tak benarkan juga anda membersihkannya, baik anda buat semasa dia tengah tidur.
d. Mungkin perlu ada 'duplicate' jika boleh
Kalau anak anda sudah terlalu 'melekat' dengan patung/mainan kesayangannya, mungkin anda perlu pertimbangkan untuk membeli lagi satu sebagai 'back up' jika berlaku sebarang masalah.
e. Sentiasa buat anak sibuk
Kalau dia sibuk buat macam-macam aktiviti seperti main puzzle, kraf atau lego, maka kuranglah masanya untuk 'melekat' dengan 'teddy bear'.
f. Berikan lebih kasih sayang
Sentiasa pastikan anda sendiri memberikan anak banyak pelukan, belaian dan kasih sayang, jadi objek peralihan itu tidak akan menjadi satu-satunya barang yang boleh menenangkannya.
from kanak-kanak http://ift.tt/2kFESzc via IFTTT
Blogger Comment
Facebook Comment