Doh mainan boleh didapati dalam pelbagai warna yang sangat menarik serta tema tertentu mengikut citarasa kanak-kanak. Doh mainan memang menjadi kegilaan kanak-kanak kecil yang sedang membesar.
Kalau anda tidak mahu membeli doh mainan yang dijual kerana alasan was-was dengan bahan yang digunakan, anda juga boleh buat sendiri doh menggunakan bahan masakan yang ada di dapur anda. Wow, memang menarik!
Kanak-kanak akan menjadi fokus dan khusyuk apabila bermain doh mainan tetapi yang tidak disukai oleh papa dan mama iaitu kesan 'penyepahan' yang dilakukan selepas bermain.
Jangan marah dan sekat anak anda bermain doh ini hanya kerana kesan melekit dan cebisannya yang bersepah kerana anda perlu tahu apa kebaikannya kepada perkembangan otak anak.
1. Kemampuan sensorik
Salah satu cara bayi untuk mengenal sesuatu objek iaitu melalui sentuhan. Dengan bermain doh, mereka belajar tentang tekstur dan bagaimana mencipta sesuatu bentuk. Selain itu ia juga membantu perkembangan kemahiran motor halus mereka.
2. Kemampuan berfikir
Bermain doh mainan boleh mengasah kemampuan berfikir anak. Latihlah dia untuk memberikan contoh bagaimana bermain dan menciptakan sesuatu dengan menggunakan doh warna warni ini.
3. Meningkatkan keyakinan diri
Permainan doh mainan adalah sejenis permainan tanpa peraturan.Ia membantu mengembangkan kemampuan imaginasi dan kreativiti anak. Dengan bermain doh, ia dapat meningkatkan rasa ingin tahu si kecil, sekaligus mengajarnya tentang menyelesaikan masalah yang berguna untuk meningkatkan keyakinan dirinya.
4. Kemampuan berbahasa
Menguli, membuat bentuk bola, menggelek adalah beberapa patah perkataan yang akan kerap keluar dari mulut si kecil semasa bermain doh. Gunakan perkataan itu untuk menggambarkan kegiatannya semasa bermain, atau jika perlu berilah nama untuk setiap bentuk yang dia buat dari doh tersebut.
5. Kemampuan sosial
Selain bermain dengan papa atau mama, sesekali bagi peluang anak untuk bermain doh dengan kawan-kawannya. Dengan bermain bersama, si kecil berpeluang untuk meningkatkan kemahirannya bersosial dengan kawan-kawan. Kanak-kanak pada asasnya hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, tetapi bila biasa buat aktiviti bermain dengan kawan-kawan, dia akan belajar bahawa bermain bersama-sama lebih menyeronokkan.
Cara membuat doh mainan sendiri
Bahan-bahan
3 cawan tepung
1 cawan garam
1 cawan air suam
1 sudu besar minyak sayuran
Pewarna makanan mengikut warna pilihan masing-masing
Caranya
* Campur semua bahan kecuali pewarna dan gaul rata.
* Uli hingga sebati.
* Potong kepada 4 bahagian
* Campurkan beberapa titik pewarna (berlainan warna) pada setiap bahagian dan uli lebih kurang 5 minit.
* Doh mainan untuk anak anda sudah siap.
Anda boleh simpan doh mainan ini di dalam beg plastik berzip supaya boleh digunakan lagi.
Layari laman web
Blogger Comment
Facebook Comment