Kegagalan dalam perkahwinan terdahulu, penyanyi Farah Asyikin, 37, tidak pernah menjadikan sejarah lalu sebagai penghalang untuk dirinya membina hidup baru. bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk anak lelakinya, Ebrahim Owais, 2 tahun.
Perkenalan dengan Raja Iskandar Raja Mukhtaruddin, 51, yang pada awalnya hanyalah atas urusan aktiviti kebajikan untuk projek Gaza sekitar dua tahun lalu itu akhirnya membawa pasangan ini kepada hubungan yang lebih serius menerusi ikatan perkahwinan.
Pada 6 Januari yang lalu, pasangan ini selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri dengan hanya sekali lafaz dalam majlis ijab kabul yang cukup sederhana bersaksikan keluarga dan kenalan terdekat kedua-dua belah pihak.
Raja Iskandar yang juga merupakan orang penting di sebuah syarikat minyak dan cari gali ini turut meluahkan rasa syukurnya apabila dipertemukan jodoh dengan Farah yang dianggap sebagai wanita yang lembut dan cukup penyabar.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana selepas 18 tahun, saya dibukakan hati untuk berkahwin lagi dengan seseorang yang saya cukup kagumi kesungguhannya dalam melakukan kerja amal dan melakukan dakwah untuk kepentingan agama.
“Saya percaya apa yang berlaku ini bermula daripada doa yang saya panjatkan ketika wukuf di Arafah ketika mengerjakan haji dua tahun yang lalu. Ketika itu saya bermohon agar dipermudahkan kehidupan selepas ini,” akuinya jujur.
Menurut Farah lagi, apa yang membuatkan dia terharu, suaminya itu tidak pernah mempersoalkan tentang status perkahwinannya terdahulu.
“Status saya sebelum ini tidak pernah menjadi isu, baik daripada pihak suami mahupun keluarga mentua, cuma mereka hanya tidak begitu biasa dengan gosip dan publisiti dalam dunia selebriti.
“Suami menerima saya dan anak seadanya, dan begitu juga di pihak saya yang cukup senang menerima dia dan anak-anak dalam satu ikatan kekeluargaan,” ujarnya.
Ditanya tentang perancangan bulan madu, kata Farah, buat masa ini dia dan suami tidak merancang untuk bercuti dalam masa yang terdekat kerana mahu mendahulukan kepentingan anak-anak.
“Alhamdulillah, penerimaan anak-anak begitu baik terhadap penyatuan kami ini dan ia membuatkan kami mahu meluangkan lebih masa untuk mengukuhkan hubungan kami dengan mereka terlebih dahulu.
“Kami berdua berkahwin dalam situasi masing-masing mempunyai anak, jadi seharusnya kami memberi keutamaan kepada mereka terlebih dahulu dan selepas semuanya sudah berada dalam keadaan yang selesa, barulah kami akan fikirkan tentang perkara lain,” ujarnya.
Menyentuh tentang kerjaya seninya selepas ini, jelas Farah, suaminya tidak pernah menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang seni kerana memahami minat dan kecenderungannya itu.
from cerita cover http://ift.tt/2lShnWW via IFTTT
Blogger Comment
Facebook Comment