Oleh Aisy Rose
Belek-belek Facebook, terbaca kes seorang ibu mengelar bayinya sendiri. Bila baca comment, astaghfirullahalazim. Sedih sangat. Baik lelaki atau perempuan, ada yang melemparkan comment negatif tanpa memikirkan apa sebab terjadinya begitu? Mesti ada puncanya.
- Kamu lelaki tak merasa nikmat mengandung, bersalin, menyusukan anak
- Kamu lelaki tak merasa sakitnya, letihnya badan membawa perut selama 9 bulan ke hulur hilir
- Kamu lelaki tidak merasa malam susah nak tidur sebab sakit pinggang, perut tiba-tiba mengeras
- Kamu lelaki tidak merasa macam mana sakitnya contraction dan nak teran bayi keluar
- Kamu tak merasa pedih dijahit di bahagian sensitif
- Kamu lelaki tak merasa sakitnya bengkak susu semasa berpantang
- Kamu tak merasa seksanya badan semasa berpantang!
Senang-senang comment, 'Kalau ada iman, tak jadi gini". Kamu Tuhan ke tahu tahap iman seseorang?
Perempuan mengandung sehingga bersalin, emosinya memang sukar dijangka, sensitif. Tiba-tiba saja boleh menangis sebab tak tahan sakit badan. Bila sedang berpantang, jagalah kata-kata yang keluar dari mulut kita bila berhadapan dengan ibu berpantang. Suami wajib beri perhatian kepada isteri.
Banyak kes di mana si suami kurang memberi perhatian kepada isteri berpantang. Ada pula yang memaksa ajak bersama sebelum habis berpantang. Dalaman ibu berpantang masih belum sihat sepenuhnya sudah digasak bersama, GILA! Ada pula yang kata isteri lembik sangat, sedangkan orang lain okay sahaja. Jangan tengok orang lain, orang lain mungkin dijaga oleh ibunya 100% semasa berpantang. Terurus dan terjaga, semuanya lengkap.
Tetapi isteri kamu?
Perempuan yang masih belum berumahtangga lagi, belum merasa sakit bersalin dan berpantang, janganlah nak comment seolah-olah kamu tahu sakitnya apa yang kami rasa. Semua itu boleh berbalik kepada kamu nanti.
Post Partum Depression (PPD) atau istilah Melayu, meroyan ada bermacam-macam jenis. Panjang kalau nak diceritakan. Tetapi apa yang saya boleh huraikan ialah, suami jangan ambil mudah selepas isteri bersalin dan sedang berpantang. Suami perlu sentiasa berkomunikasi dengan isteri.
Tanyalah isteri dia okay atau tidak, ada sakit di mana-mana bahagian, penat ke bagai. Selalu ingatkan isteri jangan terlalu banyak berfikir. Selain itu suami tolong tengokkan anak yang baru lahir dan tolong apa yang patut di rumah kalau ada anak kecil yang lain.
Tak sempurna kerja rumah seperti yang dilakukan isteri tak mengapa. Yang penting janganlah sampai jadi seperti tongkang pecah.
Netizen mudah berkata-kata, padahal mereka tidak berada di tempat ibu berkenaan.
from The Reporter
Blogger Comment
Facebook Comment